4 anggota polis, termasuk ketua balai didakwa terima rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Empat anggota polis termasuk seorang timbalan ketua balai hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan berasingan menerima rasuah wang tunai sekitar Mac 2016 hingga Februari 2017.

Keempat-empat tertuduh iaitu Sarjan Mohamed Azli Adam, 56, yang merupakan Timbalan ketua Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih; Norulirwanshah Saad, 37, Mohd Hidmi Idham Azizan, 36, masing-masing berpangkat Koperal serta Konstabel percubaan Azlan Ab Mutalib, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azli, Norulirwanshah, Mohd Hidmi Idham dan Azlan masing-masing didakwa atas satu pertuduhan menerima wang tunai RM300, RM1,200, RM800 dan RM500 daripada seorang individu berusia 41 tahun dengan tanpa balasan yang mereka mengetahui ada hubungan dengan tugas rasmi sebagai anggota polis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi, Semenyih, pada 14 Mac 2016, di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Semenyih dekat sini, pada 5 Oktober 2016 hingga 4 Februari 2017 dan di Restoran Pecel Lele, No 2, Jalan Hentian 3, Kajang pada 27 Jun 2016.

Norulirwanshah dan Mohd Hidmi turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan niat menerima wang tunai RM800 juga daripada individu sama, di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Semenyih pada 5 Januari 2017.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin dan Dir Kheizwan Kamaruddin.- Bernama

Artikel Berkaitan: