Najib jalani kuarantin, bicara kes audit 1MDB dilapangkan

NAJIB
NAJIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yang didakwa meminda laporan akhir audit 1MDB, di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin depan dilapangkan berikutan bekas perdana menteri itu masih menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari Sabah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pembelaan telah menulis surat kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan memohon penangguhan selama sehari kerana anak guam mereka masih dalam tempoh kuarantin selama dua minggu yang akan berakhir pada Isnin.

"Mahkamah telah menjawab (surat pihak pembelaan) petang semalam dan membenarkan permohonan mereka. Jadi perbicaraan pada Isnin telah dilapangkan dan akan bersambung pada Selasa dan Rabu depan jam 2 petang," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Prosiding sebelum ini menyaksikan rakaman audio mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB pada 24 Februari 2016 yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, diperdengarkan semula dan pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pendengaran baki rakaman itu kira-kira 30 minit lagi akan disambung pada Isnin.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB, yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Najib, 67, didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu (daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB pada masa dan di tempat sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23(1) dan 24(1) akta sama yang memperuntuk hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Oktober lepas, perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB ditangguhkan ke 19 Oktober kerana beliau diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari berkempen pada pilihan raya negeri Sabah bulan lepas.

- Bernama