Maqis rampas 17,000kg cili dari China

Kontena membawa cili yang ditahan Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.
Kontena membawa cili yang ditahan Maqis di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 17,000 kilogram (kg) cili besar dianggarkan bernilai RM71,243 ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada jam 3 petang ke atas sebuah kontena mendapati konsainan dari negara China itu tidak mempunyai sijil fitosanitasi dari negara asal.

"Ia tidak mempunyai sijil fitosanitasi dari negara asal dan gagal mematuhi penggredan, pembungkusan dan pelabelan sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil perakuan 3P.

"Kesemua cili itu disita untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori kontena iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40-an diambil rakaman percakapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cili besar seberat 17,000kg dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.
Cili besar seberat 17,000kg dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam.

Nur Afifah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 15(2) akta sama, yang mana jika sabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Maqis tegas menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang ditetapkan," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan: