Saintis UM jumpa fosil gajah purba pertama di Malaysia

Fosil yang ditemui oleh kumpulan saintis di Gopeng, Perak. Gambar kecil: Ros Fatihah
Fosil yang ditemui oleh kumpulan saintis di Gopeng, Perak. Gambar kecil: Ros Fatihah
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di Malaysia dengan anggaran kasar usia geologi antara 30,000 hingga 80,000 tahun dalam sebuah gua batu kapur di Gopeng, Perak.

Ketua penyelidik projek berkenaan, Dr Ros Fatihah Muhammad berkata, penemuan itu amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi haiwan kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara.

Jelasnya, gajah purba yang ditemui itu berbeza dengan gajah moden Asia atau nama saintifiknya, Elephas Maximus yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.

“Stegodon merupakan salah satu genus atau kumpulan spesies jenis proboscidea daripada keluarga stegodontidae yang telah lama pupus. Tiada lagi penemuan fosil Stegodon di Malaysia sehingga kini.

“Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula pemahaman berkenaan sejarah laluan migrasi biota (flora dan fauna sesuatu kawasan) zaman Pleistosen, termasuk manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saintis sedang menjalankan kajian di Gopeng, Perak.
Saintis sedang menjalankan kajian di Gopeng, Perak.

Turut terlibat dalam penyelidikan itu ialah ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia, Lim Tze Tshen.

Menurut Ros Fatihah, pasukan penyelidiknya memulakan penyelidikan di kawasan itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang pergi ke gua berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Penemuan ini adalah hasil daripada maklumat yang diberikan kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch dan tinjauan serta kajian kami.

“Setakat ini, kajian yang kami lakukan menunjukkan tinggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.

“Bagaimanapun, ini amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara,” ujarnya yang juga merupakan saintis daripada Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM.

Ros Fatihah turut memaklumkan proses pengimejan yang telah dilakukan oleh dua orang pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM iaitu Profesor Madya Dr Norliza Ibrahim dan Dr Mohd Azmi Abdul Razak, mendapati fosil tersebut berkemungkinan merupakan Stegodon yang berusia kurang dua tahun.

Pasukan penyelidik menjalankan penyelidikan di gua batu kapur di Gopeng, Perak.
Pasukan penyelidik menjalankan penyelidikan di gua batu kapur di Gopeng, Perak.

Dalam pada itu, beliau berharap dengan penemuan tersebut, kawasan berkenaan akan diwartakan dan dicadangkan sebagai satu geotapak baru Geopark Lembah Kinta oleh kerajaan negeri supaya dilindungi daripada pencerobohan.

Hal ini kerana, beliau percaya Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies genus Proboscidea yang paling tinggi di Malaysia, iaitu sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis spesies yang berlainan pernah hidup di Semenanjung Malaysia.

Justeru, Ros Fatihah berharap supaya masyarakat awam mulai sedar kepentingan kawasan-kawasan yang bersejarah di seluruh negara.

“Dengan kesedaran awam tentang pentingnya memelihara bukit-bukit batu kapur dari ancaman pengkuarian, sebagai contoh, penemuan fosil dari gua-gua kars (kawasan batu kapur dan dolomit) ini adalah sebab kukuh untuk pemeliharaan berterusan,” katanya.