Ketepi politik, fokus tangani Covid-19

Dr Syed Agil Alsagoff
Dr Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan perkara berkaitan politik perlu diketepikan dahulu bagi memberi laluan kepada penyelesaian masalah koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, ia bagi memberi ruang kepada kerajaan menggerakkan tindakan-tindakan penting bagi menangani Covid-19.

"Sampai masanya kerajaan dan pembangkang berganding bahu untuk menangani pandemik ini dengan terurus dan bijaksana serta elakkan berlakunya perebutan kuasa yang merugikan semua pihak," katanya hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan yang berlaku pada 13 Oktober depan berikutan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada hari tersebut.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Dengan itu, kata Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu, langkah yang sebelum ini tertangguh kini dapat dilaksanakan selepas mendapat perkenan menghadap Seri Paduka Baginda.

Anwar pada masa sama turut meminta semua pihak untuk terus bertenang susulan perkembangan semasa mengenai politik tanah air.

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, Yang di-Pertuan Agong dijangka meneliti kenyataan Anwar dan sekiranya terbukti maka Yang di-Pertuan Agong akan memanggil kesemua ahli Parlimen seperti dilakukan sebelum ini untuk mendapatkan pengesahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, terdapat kekangan dan cabaran mengenai situasi politik sekarang.

"Penularan wabak Covid-19 sekali lagi mengundang gelombang baharu dan sudah pasti akan memberi masalah sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.

"Satu hal lagi pembubaran Parlimen sekiranya terjadi akan menggugat pengawalan pandemik ini sekali gus menyebabkan rakyat marah dan kecewa," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, adalah lebih baik sekiranya tindakan lanjut dibuat berasaskan kepada keprihatinan rakyat dan kebajikan mereka serta mengatasi masalah penularan Covid-19 yang makin meningkat setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi Anwar Ibrahim 13 Oktober ini

Anwar menghadap Agong Selasa ini