Indeks jenayah Kuala Terengganu turun

Suffian (empat, kiri) bersama pengamal media yang menerima penghargaan berserta pegawai dan anggota polis IPD Kuala Terengganu.
Suffian (empat, kiri) bersama pengamal media yang menerima penghargaan berserta pegawai dan anggota polis IPD Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kejayaan polis Kuala Terengganu menumpaskan beberapa geng curi motosikal aktif di daerah ini, menyumbang kepada penurunan kadar jenayah indeks sepanjang tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak 151 kes bagi tahun 2018, iaitu daripada 699 kes pada tahun 2017 kepada 548 kes pada tahun 2018.

Menurutnya, penurunan sebanyak 22 peratus itu sekali gus melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, iaitu 5 peratus setahun.

“Kes curi motosikal turun sebanyak 95 kes, iaitu daripada 267 kes pada tahun 2017 kepada 172 kes pada tahun 2018, iaitu bersamaan 35.58 peratus.

“Kumpulan-kumpulan lama telah kita tangkap semua, iaitu sebanyak 6 kumpulan dan dalam proses untuk membuat pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA). Ini yang menyumbang kepada penurunan jenayah indeks Kuala Terengganu,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan IPD Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Jelas Sufian, kadar penyelesaian sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 75.92 peratus, juga melepasi KPI yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 45 peratus manakala kadar pertuduhan turut meningkat kepada 52.06 peratus berbanding tahun 2017, sebanyak 45.74 peratus.

Selain itu katanya, polis telah berjaya menangkap seramai 3,003 pesalah dadah atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 33 tangkapan dibuat melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 44 tangkapan kes 39A (2) dan 313 tangkapan di bawah kesalahan 39A (1).

Artikel Berkaitan:

“Kita juga berjaya menutup dan menghapuskan sebanyak 27 port dadah seperti di Jeti Perikanan Chendering, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Manir dengan cara bakar dan membuat pembersihan serta pantau secara berterusan,” katanya.

Manakala bagi kes jenayah komersial pula, sebanyak 311 kes yang dibuka dan 112 kes berjaya dituduh di mahkamah.