Kluster Penjara Reman hanya babitkan banduan

Hanya banduan disahkan positif Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang dan tidak melibatkan petugas penjara.
Hanya banduan disahkan positif Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang dan tidak melibatkan petugas penjara.
A
A
A

GEORGETOWN - Tujuh individu yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) di Penjara Reman Pulau Pinang terdiri daripada banduan dan tidak melibatkan petugas penjara.

Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, setakat hari ini, semua keputusan ujian saringan petugas penjara yang diperolehi menunjukkan negatif.

Bagaimanapun katanya, masih ada sebahagian lagi keputusan ujian saringan petugas penjara yang belum diperolehi.

"Tujuh yang positif semuanya melibatkan banduan dan bukan petugas. Sebahagian keputusan ujian saringan petugas yang sudah keluar, semuanya negatif. Banduan yang positif sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, masih terdapat lagi keputusan ujian saringan petugas yang belum keluar. Sama-sama lah berdoa agar tiada yang positif," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, enam daripada tujuh banduan yang positif Covid-19 itu merupakan kontak rapat dan tinggal dalam sel yang sama dengan banduan yang meninggal dunia 5 Oktober lalu.

"Kita berharap tindakan pantas mengasing serta kuarantin mereka dapat membendung penularan wabak tersebut.

"Proses ujian saringan masih dijalankan yang mana ketika ini semuanya berjalan lancar serta keadaan dalam penjara juga baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Proses sanitasi masih dijalankan di Penjara Reman Pulau Pinang.
Proses sanitasi masih dijalankan di Penjara Reman Pulau Pinang.

Jelasnya, buat waktu ini, tiada keperluan untuk menambah jumlah petugas di penjara tersebut.

"Ketika ini, kita ada 320 petugas dan ia mencukupi. Oleh itu, saya rasa tiada keperluan untuk meminta bantuan petugas dari penjara lain. Ini kerana, semua cuti petugas dibekukan bagi memastikan proses penugasan berjalan lancar tanpa sebarang masalah terutama untuk memastikan semua banduan berada dalam keadaan baik.

"Bagaimanapun, jika terdapat keperluan untuk meminjamkan petugas penjara di sini ke penjara lain seperti Kedah, ia semuanya bergantung kepada arahan daripada pihak Jabatan Penjara Malaysia," katanya.

Beliau berkata, proses sanitasi di dalam penjara turut dilakukan oleh kakitangan penjara dengan bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

"Proses sanitasi dijalankan hampir 24 jam sehari bagi memastikan kawasan penjara bersih daripada wabak tersebut dan keutamaan di kawasan penghuni yang disahkan positif berada.

"Saya berharap Kluster Penjara Reman tidak merebak teruk kerana kami mengambil langkah awal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Ketika ini terdapat kira-kira 2,300 banduan dan 320 kakitangan di Penjara Reman Pulau Pinang.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang di sini.

Lelaki warga emas itu turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.