Bapa kecewa gambar anak meninggal dunia disalah guna sindiket

Mohd Bukhari menyatakan perasaan kecewa gambar anaknya yang telah meninggal dunia terus disalah guna menerusi hantarannya di Facebook.
Mohd Bukhari menyatakan perasaan kecewa gambar anaknya yang telah meninggal dunia terus disalah guna menerusi hantarannya di Facebook.
A
A
A

SEREMBAN - Bapa kanak-kanak yang meninggal dunia akibat dihempap peti ais tahun lalu, Mohd Bukhari Zainal Anuar, 34, kecewa kerana gambar anaknya, Allahyarham Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari berterusan disalah guna walaupun sudah beberapa kali membuat laporan polis.

Lebih biadab gambar berkenaan dikatakan disalah guna oleh sindiket penipuan untuk mengutip dana daripada orang ramai bagi mengaut keuntungan.

Mohd Bukhari ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, beliau sudah membuat tujuh laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Muhammad Taufik Abdullah yang menggunakan nombor perbankan CIMB Bank dan Bank Simpanan Nasional(BSN) yang menggunakan nama anaknya, Allahyarham Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari untuk mengutip derma.

Bagaimanapun katanya, belum ada tindakan sehingga kini dan paling melampau apabila gambar anaknya yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos lalu selepas setahun terlantar sakit disebarkan untuk tujuan itu.

"Polis memaklumkan supaya individu atau penderma yang tertipu turut membuat laporan supaya siasatan dapat dilakukan. Masalahnya penderma pun tidak tahu mereka tertipu.

"Isu ini bukan berlaku kepada saya sahaja. Apabila saya berkongsi perkara ini di Facebook, ramai yang meninggalkan komen mengalami nasib sama yang gambar anak mereka digunakan dengan disertakan nombor akaun sama," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Bukhari pernah membuat laporan polis kerana isu sama tetapi sindiket berkenaan masih aktif dan gambar anaknya masih disebar di media sosial sehingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sampai hati guna gambar anak saya minta sumbangan'

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya membuat semakan kesahihan individu yang ingin dibantu termasuk pemilik nombor akaun.

Mohd Bukhari berkata, orang ramai juga diminta terus menghebahkan penipuan yang berlaku supaya tidak ada lagi yang tertipu.

"Kita perlu memainkan peranan menghentikan sindiket penipuan ini. Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk meraih keuntungan

"Bukan saja jika anda nampak gambar arwah Muhammad Fawwaz disalah guna, tetapi juga gambar anak-anak lain sila lapor kepada polis kerana saya pun tidak tahu lagi untuk menghentikan sindiket ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Fawwaz sudah tiada