X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs cadang tutup sekolah ada kes Covid-19

Adnan Mat
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya sekolah yang mencatatkan kes positif koronavirus (Covid-19) ditutup sementara.

Presidennya, Adnan Mat berkata, penutupan sementara sekolah terlibat adalah wajar bagi membolehkan proses mengenal pasti kontak rapat dapat dilaksanakan dan langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan risiko penularan wabak itu.

"Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, Cuepacs bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan.

"Harus diingatkan apabila melibatkan kes Covid-19 di sekolah, kontak rapatnya adalah terlalu ramai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penutupan sekolah ini tidak perlu mengambil tempoh yang panjang, tetapi cukup sekadar saringan kontak rapat dan kerja-kerja sanitasi selesai dilaksanakan.

"Langkah ini sudah tentu memberi keyakinan terhadap keselamatan kepada ibu bapa dan warga sekolah termasuk guru-guru.

"Ia juga selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang memaklumkan sekolah merekodkan kes positif Covid-19 boleh diarah tutup dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Adnan berkata, sesi persekolahan dijalankan seperti biasa di sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 adalah membimbangkan.

"Cuepacs mendapat maklum balas hampir semua sekolah yang merekodkan kes Covid-19 dalam kalangan warganya tidak kira sama ada murid atau guru telah mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.

"Kemerosotan kehadiran murid ini berasas kerana ibu bapa sudah pasti bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!