Mahkamah Rendah Syariah Klang tidak terlibat PKPB

Mahkamah Rendah Syariah Klang
Mahkamah Rendah Syariah Klang
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah Klang beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa di Klang.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi mahkamah tidak terlibat dengan pelaksanaan PKPB kerana terletak di mukim Kapar.

"Bagaimanapun, memandangkan Mahkamah Syariah seluruh Selangor masih terikat dengan Arahan Penyelarasan Perkhidmatan dan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada 6 Oktober 2020, perkhidmatan dan operasi (termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes) yang melibatkan orang awam di Mahkamah Rendah Syariah Klang masih ditangguhkan bermula 7 Oktober hingga 9 Oktober 2020.

"Mahkamah akan dibuka kepada orang awam dan beroperasi sepenuhnya mulai pada 12 Oktober ini," katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata, penangguhan operasi itu turut terpakai bagi semua Mahkamah Syariah Negeri Selangor.

"Para pelanggan yang mempunyai sebarang prosiding kes atau mempunyai temu janji dalam tempoh tersebut akan dihubungi oleh pihak mahkamah bagi pemakluman tarikh temu janji baharu.

"Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi talian telefon premis Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang berkaitan seperti yang tertera di laman sesawang JAKESS www.jakess.gov.my," katanya.

Terdahulu, PKPB dikuatkuasakan di daerah Klang mulai jam 12.01 pagi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu susulan daerah Klang mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.