Tiada belas kasihan anggota, pegawai polis terlibat jenayah

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diarahkan menggandakan usaha bagi mengekang jenayah membabitkan anggota dan pegawai polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan warganya.

"Tidak ada belas kasihan bagi mereka yang berani mencemarkan imej pasukan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian bagi mengulas penangkapan pegawai dan anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan pembabitan dengan sindiket Macau Scam dan perjudian.

Tambahnya, beliau menyambut baik siasatan SPRM dan akan memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Sementara itu, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan telah mula dijalankan terhadap semua pegawai dan anggota polis yang ditahan SPRM berhubung pembabitan sindiket Macau Scam sama ada melindungi, menerima habuan dan lain-lain.

"Siasatan JIPS memfokuskan kepada aspek melanggar peraturan tatakelakuan dan disiplin.

"Dalam perkara ini, JIPS juga akan menyiasat dan meneliti gaya hidup serta pemilikan aset mereka sama ada setimpal atau tidak dengan pangkat dan jawatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"PDRM juga mengambil perhatian serius terhadap penglibatan pegawai tersebut dan pasti akan mengenakan tindakan tatatertib yang keras ke atas mereka yang melanggar disiplin pasukan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pegawai dan anggota berpangkat Asisten Komisioner, Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta Lans Koperal ditahan SPRM sejak Selasa lalu.

Difahamkan, ketika proses tangkapan dilakukan, pihak SPRM turut merampas wang tunai RM100,000 dari kediaman seorang pegawai yang ditahan.

Sebelum ini, SPRM membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram termasuk membabitkan selebriti dan usahawan kosmetik.

SPRM juga turut menyita 24 kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi milik beberapa daripada individu ditahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket 'cuci duit': Tiga pegawai, dua anggota polis ditahan

SPRM ada senarai nama pihak terima wang haram Macau Scam