X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan hilang bot karam ditemui selamat

Pasukan APMM Pulau Pinang bertanya sesuatu kepada mangsa berhubung kejadian bot karam ketika operasi menyelamatnya malam tadi.
A
A

GEORGETOWN - Nelayan warga Indonesia yang hilang selepas bot yang dinaiki bersama tiga rakannya karam di Teluk Bahang awal pagi semalam ditemui selamat malam tadi.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu ditemui orang awam di sangkar ikan di Pulau Betong kira-kira jam 8.20 malam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, Sapta Pratama Putra, 25, dijumpai hanyut oleh pemilik sangkar ikan tersebut.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa masih memakai jaket keselamatan.

"Pemilik sangkar terus menghubungi polis yang kemudian bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Mangsa ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan malah jaket keselamatan yang dipakai mangsa dapat membantunya terapung dengan lebih lama di dalam air," katanya ketika dihubungi tadi.

Hamizan berkata, mangsa dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung, Bayan Lepas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan mengesahkan penemuan mangsa.

Beliau berkata, lelaki itu mengakui bahawa dia merupakan salah seorang mangsa dalam kejadian bot karam di Teluk Bahang.

Awal pagi semalam, seorang tekong lemas manakala seorang nelayan warga Indonesia hilang selepas bot nelayan tempatan kelas C dinaiki mereka bersama dua nelayan lain karam di Muka Head, Teluk Bahang di sini.

Bot itu dilaporkan karam pada jam 2.25 pagi di kedudukan 5.3 batu nautika Barat Daya Muka Head.

Terdapat empat awak-awak termasuk seorang tekong warga tempatan di atas bot berkenaan semasa kejadian berlaku.

Tiga awak-awak warga tempatan berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada sekitar kawasan kejadian namun salah seorang yang juga tekong bot didapati lemas manakala seorang lagi awak-awak warga Indonesia masih hilang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!