Diam diri lebih baik

No Image Caption
A
A
A

PERIBAHASA ada menyebut ‘langit dapat dilukis, sudut kambut diserayakan’. Maksudnya, ia menggambarkan mengenai sifat manusia yang lebih mudah menilai orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Kita memang begitu. Selalu berasa lebih mengetahui tentang orang lain dan mudah menghakimi orang lain. Padahal, tidak mungkin kita mampu membaca fikiran dan mengukur kedalaman hati orang.

Lebih parah, manusia itu lebih mudah melihat hal buruk daripada kebaikan. Diakui atau tidak, itulah fakta yang ada. Kita memang lebih mudah melihat kesalahan orang lain berbanding kebaikan mereka.

Jika orang lain melakukan kesalahan, kita akan dengan mudah menilai mereka dan menghakimi mereka dengan cara serta pola pemikiran kita sendiri. Kita akan lupa mengenai semua kebaikannya.

Berdasarkan sebab itu jugalah yang menyebabkan ramai orang berasa diri mereka sahaja yang benar, malah memahami dunia dan seisinya tanpa mahu memahami dirinya sendiri terlebih dahulu.

Mereka sibuk menilai dan menunjuk kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri, sedangkan melihat diri sendiri lebih penting untuk mengetahui kedudukan kita sebagai makhluk di muka bumi ini.

Hakikatnya, sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan kerana manusia itu tiada yang sempurna termasuklah dalam kalangan pemimpin negara dan dunia sekalipun.

Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah selari dengan perkembangan dunia antarabangsa, namun itu tidak bermakna kita harus menjadi mangsa atau korban kepada bencana atau wabak penyakit.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan kes koronavirus (Covid-19) misalnya, sepatutnya isu politik atau persaingan kuasa menjadi kurang penting kerana pentadbiran negara perlu menjurus dalam menangani hal berkenaan.

Namun, berlaku sebaliknya. Keadaan itu tidak mampu menghentikan nafsu sesetengah ahli politik untuk berdiam walaupun rakyat mula bimbang dengan penularan dan pertambahan kes baharu.

Ia bukan isu politik semata-mata, sebaliknya ia adalah penularan wabak tidak mengenal siapa. Perlu difikirkan bersama-sama demi memastikan negara bebas gelombang ketiga wabak maut itu.

Amarah

Soalnya, kenapa mesti dipersalahkan ahli-ahli politik sahaja dan sekiranya mereka melakukan kesalahan, boleh sahaja ditegur walaupun dengan teguran keras tanpa perlu memaki hamun.

Benar, mereka ada kesalahan tetapi bukan lesen untuk kita memaki hamun. Nampak sangat ia lahir daripada dendam yang tersimpan sekian lama dan hanya menunggu masa untuk dilepaskan.

Lebih mendukacitakan apabila ada kalangan pemimpin pembangkang mengambil kesempatan menggunakan amarah segelintir rakyat itu untuk mengeruhkan lagi keadaan, malah mahu menukar kerajaan

Dua kesalahan tidak menjadikan salah satu betul. Salah tetap salah. Mereka yang memaki dan menghina termasuk mereka yang menyokong tindakan tersebut. Kedua-duanya tetap menerima balasan setimpal.

Juga kepada penyokong kerajaan yang membalas semula kutukan dan makian dengan kutukan serta makian, ketahuilah ia adalah sama. Tiga kesalahan tidak menjadikan salah satunya betul.

Maka, lebih baik diam daripada sibuk menilai orang lain. Lebih baik diam dan cermin diri daripada sibuk menghakimi orang lain tanpa mahu mencuba mencari kesalahan yang ada pada diri sendiri.

Yang perlu kita lakukan adalah saling lengkap melengkapi kekurangan masing-masing. Jika ada seseorang yang melakukan kesalahan, tegur mereka dengan cara yang baik. Ada berjuta cara yang baik.

Jika memimpin, carikan solusi untuk memperbaiki kepimpinan yang ada. Jangan malu mendengar nasihat daripada semua peringkat. Dengan demikian, negara akan menjadi tempat yang lebih selamat.

Masyarakat kita sudah cukup sakit, usah ditambah kesakitan mereka. Jika tidak tahu, alangkah baiknya diam. Siapa lagi yang mampu merosakkan negara ini, kalau bukan pemimpin dan rakyatnya sendiri. Moga Malaysia aman daripada politikus yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi yang bersikap memecahbelahkan kerana ketika ini bukan masa yang sesuai untuk menangguk di air yang keruh.

Janganlah pula pendirian kita hanya berubah apabila kita sendiri yang positif Covid-19. Nyawa politikus dan nyawa rakyat sama penting walaupun kuasa yang sebenarnya terletak di tangan kita sebagai rakyat.

Saya ulang – kuasa itu ada pada rakyat, bukan yang sedang atau mengejar kuasa tidak kira masa. Ia akan kembali kepada rakyat. Jadi diam itu lebih baik dan bersuaralah hanya apabila tiba masanya.

* Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional