Baju oren bezakan OKT SPRM dengan OKT agensi lain

Baju ungu dipakai OKT yang di bawah kendalian polis, manakala baju oren yang dipakai OKT yang dibawah kendalian SPRM.
Baju ungu dipakai OKT yang di bawah kendalian polis, manakala baju oren yang dipakai OKT yang dibawah kendalian SPRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemakaian baju lokap berwarna oren oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) adalah untuk membezakan individu yang ditahan oleh suruhanjaya itu dengan mereka yang ditahan oleh agensi penguatkuasaan lain.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sebagai contoh, OKT di bawah SPRM dapat dikenal pasti melalui pemakaian baju oren manakala OKT di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berpakaian warna ungu.

Beliau berkata, jika OKT tidak dipakaikan pakaian itu, ia juga akan menyukarkan SPRM untuk mengenal pasti OKT terbabit sekiranya ada di antara mereka yang melarikan diri.

“Baru-baru ini SPRM ada buat tangkapan sampai tujuh orang, bayangkan mereka tidak pakai baju oren kita pun tidak dapat mengenal pasti OKT dan mungkin ketika itu terdapat penahanan reman OKT oleh polis.

"Jadi, kita tidak dapat membezakan mana satu OKT kita (SPRM) dengan polis, bercampur aduk... kalau OKT hilang, siapa hendak tanggung (bertanggungjawab)?,” katanya dalam wawancara SPRM bertajuk 'Pemerkasaan SPRM dan Usaha Pencegahan Rasuah' di radio MACC. fm hari ini.

Azam berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa OKT SPRM perlu memakai baju berwarna oren dan tidak menggunakan warna lain.

"Pemakaian baju oren bagi OKT diuruskan oleh Bahagian Keselamatan SPRM tertakluk di bawah Akta SPRM 2009 selain turut membezakan mereka yang ditahan dengan orang yang tidak ditahan," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, pemakaian baju berwarna oren itu turut bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat sekiranya mereka merasakan terdapat keperluan untuk OKT memakai baju berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya tidak, maka boleh juga. Ia bergantung mengikut kes, sebab ada kes yang perlu pakai baju oren dan ada yang tak perlu (pakai),” katanya sambil menegaskan pemakaian baju oren juga adalah untuk memastikan keselamatan OKT dan pegawai SPRM. - Bernama