Tugas sukar Sudan selepas perjanjian damai

Gambar fail menunjukkan anggota-anggota pemberontak Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan Sudan yang menentang kerajaan sebelum ini. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota-anggota pemberontak Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan Sudan yang menentang kerajaan sebelum ini. - Foto AFP
A
A
A

SUDAN kini meraikan satu perjanjian bagi menamatkan perang selama berdekad-dekad tetapi langkah pertama untuk menggerakkan perjanjian keamanan ialah melucutkan senjata namun ia adalah perkara yang paling sensitif untuk dilakukan.

Mengumpulkan senjata-senjata di sebuah negara yang dibanjiri dengannya selepas berlaku konflik selama bertahun-tahun sehingga menyebabkan ratusan ribu orang terbunuh adalah merupakan bahagian paling sulit dalam perjanjian damai yang ditandatangani pada 3 Oktober lalu.

"Menghimpunkan senjata-senjata merupakan satu urusan yang sukar," kata Gibril Ibrahim iaitu Komander Pergerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM), salah sebuah kumpulan pemberontak yang menandatangani perjanjian bersejarah itu.

"Ia melibatkan satu usaha kolektif. Orang ramai tidak akan menyerahkan senjata sehingga pihak kerajaan memberi jaminan terhadap keselamatan mereka," ujarnya.

Kumpulan JEM dianggotai Ibrahim bertempur dengan kerajaan di barat wilayah Darfur.

Pertempuran yang berlaku di wilayah itu sejak tahun 2003 telah menyebabkan kira-kira 300,000 orang terbunuh.

"Jika kami mempunyai sebuah kerajaan yang demokratik yang mendengar suara penduduk, rakyat akan membuat kesimpulan bahawa mereka tidak lagi perlu membawa senjata untuk melindungi diri masing-masing," kata Ibrahim.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani oleh kerajaan dan dengan kumpulan pemberontak iaitu Pembela Revolusi Sudan (SRF) dan mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Pemberontak-pemberontak itu termasuk kumpulan-kumpulan dari Darfur dan dari negeri selatan iaitu Nil Biru dan Kordofan Selatan.

Menurut salah seorang pemberontak, perjanjian ini akan memberi kesan kepada kira-kira 35,000 pejuang.

Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir telah disabitkan kesalahan dalam dakwaan rasuah dan ketika ini dibicarakan di ibu kota Khartoum berhubung rampasan kuasa pada tahun 1989. - Foto AFP
Bekas Presiden Sudan, Omar al-Bashir telah disabitkan kesalahan dalam dakwaan rasuah dan ketika ini dibicarakan di ibu kota Khartoum berhubung rampasan kuasa pada tahun 1989. - Foto AFP

Keamanan semakin tercapai selepas bantahan besar-besaran menyingkirkan Presiden Omar al-Bashir daripada kekuasaan berlaku pada April tahun lalu.

Sebuah kerajaan peralihan pula telah menjadikan usaha menamatkan konflik di negara tersebut sebagai satu keutamaan.

Bashir dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan melakukan pembunuhan secara besar-besaran dan jenayah menentang kemanusiaan di Darfur.

Beliau juga sebelum ini telah disabitkan kesalahan dalam dakwaan rasuah dan ketika ini dibicarakan di ibu kota Khartoum berhubung rampasan kuasa pada tahun 1989 yang menyebabkannya berkuasa di negara berkenaan.

Bashir disingkirkan melalui satu rampsan kuasa tentera pada tahun lalu selepas berlaku protes antikerajaan selama beberapa bulan yang menentang pemerintahan 'kuku besinya' selama lebih tiga dekad di Sudan.

Tunjuk perasaan itu pada mulanya berlaku disebabkan kenaikan harga roti yang meningkat tiga kali ganda dan merupakan cabaran terbesar ketika beliau memerintah.

Sebuah majlis ketenteraan peralihan kemudian ditubuhkan yang akan mentadbir Sudan dan menggantikan Bashir selama dua tahun.

Sebelum ini kumpulan-kumpulan minoriti etnik menentang kerajaan Bashir yang menyebabkan berjuta-juta orang juga hilang tempat tinggal.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju bahawa Bashir akan menghadapi perbicaraan tentang peranannya di Darfur.

Bagaimanapun, selepas perang yang panjang, kebanyakannya bimbang untuk menyerahkan senjata api mereka.

"Amanah adalah kunci untuk pelucutan senjata," kata Jonas Horner daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa yang beribu pejabat di Brussels, Belgium.

Sambil memberi amaran tentang 'jurang amanah' antara bekas pemberontak dengan kerajaan di Khartoum, Horner berkata, beliau bimbang sebahagian pihak akan menyembunyikan senjata-senjata api.

Dua buah kumpulan pemberontak, termasuk kira-kira 15,000 pejuang, menurut anggaran satu pihak enggan mengambil bahagian dalam perjanjian damai pada 3 Oktober tersebut.

Salah sebuah kumpulan itu, Pergerakan Pembebasan Sudan (SLM) adalah yang beribu pejabat di Darfur dan diketuai oleh Abdelwahid Nour.

Sebuah lagi ialah sebuah kumpulan dikenali sebagai Pergerakan Pembebasan-Utara Rakyat Sudan (SPLM-N) yang beribu pejabat di Kordofon Selatan dan diketuai oleh Abdelaziz al-Hilu telah menandatangani satu lagi perjanjian gencatan senjata berasingan.

Perjanjian itu membenarkan para pemberontak untuk 'menggunakan' senjata mereka bagi melindungi diri sehingga Perlembagaan Sudan dipinda bagi memisahkan agama dan kerajaan.

Malah, sebelum ia ditandatangani, tentera Sudan melancarkan kempen melucutkan senjata secara besar-besaran, 'membakar' dan 'meletupkan' ribuan senjata api yang diperolehi daripada orang awam.

'Letupan' itu dilakukan di pandang pasir negara tersebut.

Kajian Tentera Kecil, sebuah pertubuhan penyelidikan beribu pejabat di Geneva yang membuat pengiraan berkata, terdapat 2.76 juta senjata api haram di Sudan pada tahun 2017 atau 6.6 senjata api bagi setiap 100 orang.

Para pemberontak akan diserapkan memasuki unit-unit pasukan keselamatan kerajaan.

"Untuk kestabilan negara. senjata-senjata api itu perlu diserahkan kepada pasukan tentera," kata Yassir Arman, Timbalan Pengarah SPLM-N iaitu kumpulan pemberontak yang menandatangani perjanjian tersebut.

Menjadikan para pemberontak memasuki pasukan tentera selalunya membawa musuh lama ke dalam unit-unit pasukan keselamatan dan ia bukannya mudah.

"Kita mesti membina sebuah tentera profesional yang tidak campur tangan dalam hak ehwal politik," kata Arman.

Pasukan tentera Sudan akan disertai oleh anggota-anggota pemberontak merupakan antara syarat perjanjian damai yang ditandatangani pada 3 Oktober lalu. - Foto AFP
Pasukan tentera Sudan akan disertai oleh anggota-anggota pemberontak merupakan antara syarat perjanjian damai yang ditandatangani pada 3 Oktober lalu. - Foto AFP

Sudan sebelum ini telah menyaksikan perjanjian damai yang mendapat pujian tetapi akhirnya musnah.

Sehubungan itu, perjanjian kali ini menitikberatkan langkah-langkah yang jelas.

"Aspek keselamatan perjanjian ini adalah yang paling kompleks," kata jurucakap pasukan rundingan kerajaan, Mohammed Hassan al-Taichi.

Sebuah majlis keselamatan akan ditubuhkan dalam tempoh 45 hari untuk mengetuai pelucutan senjata dan meleraikan pergerakan para pemberontak.

"Pengumpulan senjata akan dilakukan apabila para pemberontak mula untuk menyertai kem-kem latihan," tambah Taichi.

Di Darfur, proses itu akan mengambil masa selama 15 bulan tetapi di kawasan-kawasan lain, tempoh masanya adalah 39 bulan.

Ketika membina keamanan memerlukan orang ramai menyerahkan senjata-senjata mereka, sebahagiannya akan menyerahkan senjata api apabila berasa yakin perang sudah tiada. - AFP