Risaunya impak herba dalam tubuh...

Kajian sahih mendapati, ubatan tradisional berasaskan herba dikaitkan dengan beberapa penyakit berbahaya jika ia diambil tanpa nasihat pakar.

A
A
A


Soalan 1

Doktor, berdasarkan pemerhatian saya, sejak kebelakangan ini terlalu banyak herba yang dijual di pasaran. Ramai juga mengambil produk ini tanpa merujuk kepada pihak pengamal perubatan bertauliah. Justeru, ingin saya bertanya, apakan kesan pengambilannya tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu? Cukupkah sekadar dengan hanya merujuk preskripsi pada produk berkenaan?

CELIK HERBA, MUHD. ARSYAD OMAR, 45, KUALA LUMPUR.

Jawapan:

Jamu dan produk-produk tradisional berasaskan herba amat sinonim bukan sahaja dengan masyarakat Malaysia malah Indonesia, China dan negara-negara Asia secara amnya. Produk-produk herba ini diambil untuk pelbagai tujuan kesihatan termasuk mereka yang sihat.

Paling ketara, kebanyakan pengguna produk ini adalah kaum Hawa yang sentiasa mendambakan kecantikan luaran dan dalaman.

Bagaimanapun, perlu waspada! Informasi daripada Hospital Selayang yang merupakan pusat rujukan utama penyakit hati di Malaysia mendapati, 4 peratus daripada kes kegagalan hati akut (acute liver failure) adalah disebabkan oleh ubat dan produk berasaskan herba.

Malah, pihak hospital mengesyaki, masih banyak kes serupa tidak dilapor atau dirujuk ke hospital. Kajian juga mendapati, 40 peratus daripada pesakit telah menyembunyikan maklumat tentang amalan mereka mengambil ubat herba.
Artikel Berkaitan:


Punca banyak penyakit

Berdasarkan penyelidikan seperti yang disiarkan menerusi Jurnal Hepatology melaporkan, produk berasaskan herba menyumbang kepada 20 peratus kes-kes kerosakan hati (hepatitis).

Menurut jurnal berkenaan lagi, ubat tradisional berasaskan herba ini juga dikaitkan dengan masalah kerosakan buah pinggang.

Kajian disiarkan di dalam Science Translational Medicine juga mengaitkan beberapa sebatian kimia terdapat di dalam ubat tradisional berasaskan herba sebagai punca kanser hati.

Sebatian kimia tersebut merupakan aristolochic acid yang ditemui banyak digunakan di dalam pembuatan ubat tradisional herba.

Terdapat pelbagai jenis ubat-ubat terkawal seperti steroid, antihistamin dan hormon telah dicampur ke dalam produk dan ubat tradisional herba untuk memberi kesan lebih kuat kepada para pengguna.

Pendek kata, perkataan herba, jamu, majun, akar kayu dan lain-lain yang seolah-olah selamat diambil. Namun, sebenarnya mungkin mengandungi racun berjadual yang berpotensi memudaratkan kesihatan pesakit.

Berbeza dengan ubat-ubatan, ia sudah menjalani kajian klinikal terperinci.

Ubatan tradisional herba ini tidak pernah menjalani ujian makmal apatah lagi kajian klinikal untuk menguji keberkesanan dan keselamatan serta dos selamat untuk diambil oleh pesakit.

Walaupun ubat-ubatan moden juga mempunyai kesan sampingannya, keadaan para pesakit dipantau oleh doktor dan mereka diberi rawatan susulan.

Namun, sekiranya para pesakit mendapat kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan tradisional berasaskan herba ini, para penjual dan pengasas kebanyakannya akan lepas tangan dan menyerahkan kepada pihak perubatan moden untuk menyelesaikan masalah yang mereka sendiri cipta.

Oleh itu, masyarakat digesa sentiasa berhati-hati dan elak membeli produk tradisional herba tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Segera ke klinik berhampiran sekiranya mengalami kesan sampingan akibat produk ubat herba dan hubungi pihak Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk tindakan selanjutnya.

Trend makan ala hipster: Kreatif tetapi jangan keterlaluan

Soalan 2

Sekarang ini, semacam trend gaya makan ala hipster dengan makan makanan panas dalam tin dari bekas terpakai, makan dalam besen dalam kuantiti besar dan sebagainya. Apa komen doktor, adakah terdapat kesan sampingan?

PELIK DENGAN TREND, NURAINI ABDUL KARIM, 32, IPOH, PERAK.

Jawapan:

Sudah menjadi lumrah kita untuk mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi apabila ia nampak unik dan luar biasa.

Trend persembahan sebegitu dikatakan sealiran dan bercirikan hipster.

Kebiasaannya, ia akan tular dengan cepat menerusi media sosial.

Ia juga dikatakan strategi ampuh dalam cubaan pengusaha menggamit pengunjung yang rata-ratanya golongan remaja terutama di bandarbandar besar di Malaysia untuk mencuba.

Namun, kadangkala trend hipster itu dilihat agak keterlaluan, lebih-lebih lagi apabila ada pengusaha kedai makan yang menggunakan peralatan atau bahan kurang bersih dan berisiko hingga membahayakan pengguna.

Kreativiti perlu ada had. Kunci utama bagi peniaga ingin berkreativiti dalam menarik pelanggan adalah kebersihan semasa penyediaan makanan dan memastikan peralatan seperti bahan kitar semula itu selamat untuk digunakan oleh pelanggan.

Selain itu, mutu kebersihan dan keselamatan makanan dapat dijamin serta berkhasiat baik kepada badan.

Semua bekas untuk menyediakan makanan hendaklah dipastikan bersih digunakan selaras dengan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penggunaan bekas makanan unik seperti pasu, daun pisang atau bahan kitar semula juga tidak terkecuali.

Bekas makanan unik ini wajiblah dipastikan bersih dan sebaiknya digunakan sekali sahaja. Ini kerana ia tidak tahan lama dan ada risiko pencemaran makanan serta mempunyai bahan kimia apabila digunakan berulang berkali.

Bagi trend melampau seperti penyediaan makanan dalam mangkuk tandas atau pampers, peniaga seharusnya mengambil maklum, budaya tempatan sama ada ia sesuai diaplikasi atau sebaliknya di dalam pasaran tempatan. Makanan dalam kuantiti besar pula sebaiknya trend ini tidak diamalkan kecuali hidangan tersebut dikongsi dengan ramai orang dan bukan untuk seorang makan.

Pengguna juga perlu mengehadkan kuantiti makanan yang besar ini terutamanya jika makan pada waktu malam. Mengapa? Pastinya, ia boleh mendatangkan risiko penyakit kronik seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ia wajar dielakkan.

Makanan berasap juga mempunyai risiko kepada kesihatan kita.

Dr Afiq Izuddin A Rahim

Merupakan Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), kini sedang melanjutkan pelajaran PhD dalam bidang sama. Ahli MedTweetMy dan Medical Mythbusters Malaysia (M3) ini juga penulis buku dan blogger kesihatan - drafiqrahim.com dengan banyak memberikan pendidikan berkenaan kesihatan awam sejak 2014.