PBS jadi pemantau elak kebimbangan rakyat Sabah

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berperanan sebagai pemantau bagi memastikan kebimbangan rakyat Sabah dapat ditangani berhubung kehadiran Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ia susulan pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dilantik hari ini bersama lima lagi ADUN lain.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pelantikan ahli Pas sebagai ADUN dilantik mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat Sabah dan ahli politik lain yang kurang menyenangi perkara itu.

"Kami berkongsi rasa kurang senang itu pada pimpinan berhubung anggota parti agama yang berpusat di Tanah Melayu (Semenanjung) dilantik menyertai Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa mengambil bahagian dalam pilihan raya.

"Seperti yang dimaklumkan kepada orang ramai dalam kenyataan saya sebelum ini, kami telah mengemukakannya kepada pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan penjelasan sudah diberikan oleh mereka," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, PBS tetap kekal dengan pendirian asal mereka bahawa tidak perlu adanya lantikan itu memandangkan ia atas dasar agama.

"Memandangkan janji sudah dibuat, kami akan memikul peranan kami sebagai pemantau dan pengimbang untuk memastikan kebimbangan rakyat Sabah dapat ditangani.

"Kami juga berharap dapat bekerjasama dengan wakil Pas yang mempunyai latar belakang akademik yang baik yang berasal dari Tenom.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin bahawa Aliakbar sebagai ADUN dilantik akan berusaha untuk menyangkal persepsi orang ramai yang salah mengenai Pas di Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Maximus menyeru supaya rakyat Sabah bersatu dan bekerjasama memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama barisan Kabinetnya yang baharu.