Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Paimuzi

Hantaran Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Paimuzi di Facebook, hari ini
Hantaran Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Paimuzi di Facebook, hari ini
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya, yang telah kembali ke rahmatullah tengah hari tadi.

Menerusi hantaran Istana Negara di Facebook, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Pengarah Jakim meninggal dunia

Yang di-Pertuan Agong turut menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, khususnya dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim awal tahun ini berpengalaman lebih tiga dekad di dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam dan memegang beberapa portfolio.

Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Pengarah Jakim Sabah pada tahun 2005, Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (2008), Pengarah Darul Quran tahun (2010) dan Pengarah Jawi (2013).

Pada tahun 2016, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim. Pada tahun 2017, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pada tahun 2018, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 1 petang tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atas masalah kesihatan semalam.

Artikel Berkaitan:

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim turut mengesahkan semalam bahawa Allahyarham bebas daripada pandemik koronavirus (Covid-19).