Kereta langgar bas: Tiga patah kaki, seorang cedera kepala

Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam sebuah kereta Proton Saga yang terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 50 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pagi tadi.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam sebuah kereta Proton Saga yang terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 50 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pagi tadi.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tiga mangsa patah kaki manakala seorang cedera di kepala selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 50 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi tadi dipercayai apabila sebuah bas jenis Hino dari arah Kuala Selangor membelok menghala Ke Kampung Raja Musa ketika lampu isyarat hijau.

"Bagaimanapun, bas terbabit telah dilanggar kereta jenis Proton Saga dari arah Tanjong Karang," katanya.

Ramli berkata, akibat kejadian itu, empat mangsa menaiki kereta kemudian dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

"Pemandu bas berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut mengikut Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 167/59)," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.06 pagi tadi.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Sejurus tiba, kami dapati terdapat dua mangsa tersepit, manakala selebihnya cedera parah.

"Kami bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dan mangsa diserahkan kepada ambulans dari Hospital Tanjong Karang dan Pertahan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor," katanya.