X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Malaysia catat lima kematian, lima kluster baharu

DR NOOR HISHAM
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima lima laporan kes kematian berkaitan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua pesakit meninggal dunia di hospital di Sabah.

"Kes kematian ke-142 merupakan kes positif Covid-19 ke-12,489 melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun yang dirawat di Hospital Lahad Datu.

"Pesakit mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia," katanya.

Menurutnya, kes kematian ke-143 merupakan warga emas wanita berusia 75 tahun.

"Pesakit merupakan kes positif Covid-19 ke-13,692 dirawat di Hospital Semporna dan mempunyai penyakit darah tinggi," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-144 melibatkan lelaki berusia 54 tahun yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

"Pesakit ke-13,705 mempunyai mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua lagi kes kematian ke-145 dan 146 dilaporkan di Hospital Tawau.

"Kedua-dua pesakit berusia 82 dan 53 tahun," katanya.

Sementara itu, KKM turut mengesan lima kluster baharu iaitu dua di Sabah dan tiga lagi di Kuala Lumpur, Sarawak serta Labuan.

Menurutnya, Kluster Tujuh Serangkai dikesan di Tuaran, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-11,569 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 5 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth," katanya.

Beliau berkata, saringan kontak rapat telah mengenalpasti 22 lagi kes positif.

"Sehingga kini, 325 individu telah disaring yang melibatkan 23 kes positif dan 302 masih menunggu keputusan," katanya.

Tambahnya, satu lagi kluster baharu di Sabah digelar sebagai Tanamera.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-12,868 telah dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 29 September dan dimasukkan ke Hospital Tawau," katanya.

Saringan kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif Covid-19.

"Sehingga tengah hari ini, 13 individu telah disaring di mana seorang disahkan negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Kluster Jalan Pantai dikenalpasti di Daerah Lembah Pantai.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-14265 dan kes ke-14266 telah dikesan positif pada 8 Oktober.

"Saringan kontak rapat terhadap 15 individu, enam lagi turut dijangkiti wabak itu dan tujuh lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, Kluster Bah Arnab dikesan di Kuching, Sarawak selepas empat individu disahkan positif Covid-19.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-13,488 dikenal pasti positif Covid-19 pada 7 Oktober hasil saringan pulang dari Sabah," katanya.

Setakat ini 20 individu disaring dan 16 disahkan negatif.

Di Labuan, Kluster Bah Bangat diisytiharkan selepas kes indeks kluster ini iaitu kes ke-12,377 telah dikesan positif Covid-19.

"Hasil saringan terhadap 45 individu, KKM mengesan lapan lagi disahkan positif Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!