Covid-19: 375 kes baharu, penularan dalam komuniti dikesan

DR NOOR HISHAM - Foto Bernama
DR NOOR HISHAM - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 303 daripada 375 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) adalah terdiri daripada kes yang dikesan dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesan 18 kes daripada Kluster Tembok, Kluster Benteng LD dan Kluster Penjara Reman.

"Selain itu, terdapat 50 kes daripada lain-lain kluster dan empat kes import," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 14,368 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 3,703 kes," katanya.

Beliau berkata, Sabah merekodkan 271 kes iaitu enam daripada Kluster Ramai-Ramai, lima Kluser Laut dan tiga daripada Kluster Benteng LD.

"Tiga kes daripada Kluster Tujuh Serangkai, dua kes daripada Kluster Tanamera dan 252 kes dikesan dalam pelbagai saringan Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, di Selangor, 36 kes dikesan hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan 12 kes daripada Kluster Jalan Meru, empat saringan pulang dari Sabah dan 20 lagi pelbagai saringan," katanya.

Di Kedah pula, sebanyak 16 kes dikesan melibatkan 14 kes Kluster Tembok dan masing-masing satu kes Kluster Bah Sintok serta saringan Covid-19.

"Di Kuala Lumpur dan Labuan sebanyak 10 kes baharu dikenalpasti.

"Sarawak pula merekodkan enam kes, Johor dan Perak serta Terengganu lima kes," katanya.

Negeri Sembilan dan Putrajaya masing-masing mencatatkan dua kes manakala Melaka serta Pulang Pinang satu kes.

"Sehingga kini, terdapat 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, terdapat 18 kes yang telah pulih hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 10,519 kes iaitu 73.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.