'Harap beri khidmat terbaik buat rakyat Sabah'

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Kabinet Sabah diharapkan mampu memberi perkhidmatan terbaik buat semua rakyat Sabah khususnya ketika negeri itu berdepan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan persekitaran pertumbuhan ekonomi yang agak suram.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, beliau juga berharap semua kepimpinan dapat berganding bahu dan terus bekerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah.

"Tahniah saya ucapkan kepada semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang mengangkat sumpah jawatan bagi menganggotai Kabinet kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor. Tahniah juga kepada semua ADUN yang mengangkat sumpah untuk jawatan Pembantu Menteri.

"Ucapan tahniah juga kepada Datuk Kadzim M Yahya yang dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Sabah. Saya yakin beliau berupaya menjalankan tanggungjawab itu dengan adil dan saksama," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Jemaah Menteri dan Pembantu Menteri Negeri Sabah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Sabah hari ini.

Ini berikutan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Hajiji yang juga ADUN Sulaman sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu pada 29 September lalu.

Artikel Berkaitan: