X

Kindly register in order to view this article
!

PN berpotensi jadi kerajaan 'mandul', kata Mujahid

Mujahid Yusof
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan hari ini berpotensi menjadi sebuah kerajaan 'mandul' yang tiada keupayaan menangani krisis yang berlaku (dysfunctional government), kata Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, tanda-tanda kerajaan menjadi 'mandul' menangani krisis ialah apabila anggota Kabinet sendiri tidak sensitif kepada peraturan-peraturan yang dibuatnya.

"Dalam suasana krisis pandemik, pelaksanaan piawaian peraturan atau SOP adalah segala-segalanya kerana itulah sahaja benteng yang ada antara kita dan potensi sebaran penyakit. Keupayaan kita mendatarkan keluk sebaran dari meningkat hanyalah dengan menyekat melalui pematuhan SOP.

"Pelanggaran demi pelanggaran pihak eksekutif tanpa pematuhan adalah tanda sebuah kerajaan yang lemah. Rakyat mengulas hal ini dengan caranya tersendiri adalah sebenarnya merujuk kepada tanda kepada sebuah kemandulan dari cabang penting pemerintahan, eksekutif!" katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook beliau.

Tambah Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, lebih memburukkan keadaan ialah apabila terbentuk persepsi bahawa pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaannya bersikap memilih bulu atau dwi standard sehingga timbul persepsi 'menteri langgar terlepas, rakyat marhaen langgar diberkas'.

Katanya, sikap elitis pemerintah melalui tindak-tanduk mereka tidak membantu untuk menyelesaikan krisis.

"Politik dalam kerangka prinsip demokrasi sebuah pemerintahan ada kaitan dengan cara dan gaya kerajaan menangani pandemik dan ia juga terkait rapat dengan motivasi rakyat untuk bersepadu dan mendokong segala keputusan melalui Parlimen yang kukuh dan fokus kepada penyelesaian," katanya.

Beliau berkata, tidak perlu menolak apa sahaja yang namanya 'politik' dalam suasana pandemik hari ini kerana ia boleh menutup ruang untuk pihak tertentu menangani pandemik dengan lebih efektif.

"Kita menolak dipolitikkan tetapi jangan menolak peluang untuk menangani krisis dengan lebih berkesan melalui proses politik.

"Sebab itu apabila ditanya kepada saya, wajarkah Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kenyataan pada 22 September bahawa beliau ada majoriti kukuh, meyakinkan dan selesa..., sedangkan negara sedang melalui krisis pandemik? Saya menegaskan dengan jawapan ringkas...Ya.

"Apa salahnya dalam kerangka prinsip demokrasi berparlimen untuk lebih berkesan menangani pandemik covid (Covid-19) yang gagal ditangani oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!