Padah ubahsuai data warga asing

Ng Yean Ping,33 didenda RM115,000 selepas mengaku salah atas 115 pertuduhan mendaftarkan kad sim prabayar menggunakan maklumat warga asing tak wujud untuk tujuan sindiket penipuan.
Ng Yean Ping,33 didenda RM115,000 selepas mengaku salah atas 115 pertuduhan mendaftarkan kad sim prabayar menggunakan maklumat warga asing tak wujud untuk tujuan sindiket penipuan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai telefon dijatuhi hukuman denda RM115,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah atas 115 pertuduhan mendaftarkan kad sim prabayar dengan menggunakan maklumat warga asing yang tidak wujud untuk tujuan sindiket penipuan.

Tertuduh, Ng Yean Ping, 33, turut berdepan hukuman penjara 115 bulan sekiranya jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap 115 pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat capaian kepada sistem Multi Channel Portal (MCP) Digi Telecommunications Sdn Bhd bagi mendaftarkan 115 nombor-nombor telefon dengan nombor IMEI: 35641401612025 tanpa membuat pengesahan maklumat yang sah pengguna akhir terlebih dahulu seperti dikehendaki syarikat telekomunikasi berkenaan.

Tindakan tertuduh menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP itu.

Dia yang menggunakan nama 32 warga asing yang tidak wujud itu mengaku melakukan kesalahan itu pada April hingga Jun 2016 di premisnya di Bukit Kecil, di sini.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 5(4) akta sama boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara hingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Nooriah menjatuhkan hukuman denda RM1, 000 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan bagi setiap kesalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Norhani Mohd Adzhar dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Mengikut fakta kes, kegiatan tertuduh terbongkar selepas sebuah agensi berita membuat laporan berhubung satu berita palsu berkaitan artikel 'Sultan Mizan Kembalikan Darjah Kebesaran Kepada MB Terengganu' pada 1 Jun 2016.

Hasil laporan itu, pihak SKMM melakukan penyiasatan bersama agensi berkaitan sekali gus mendedahkan kegiatan tertuduh yang mendaftarkan kad sim prabayar menggunakan maklumat warga asing.