Sindiket rokok seludup terbesar di Johor tumpas

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi, hari ini.
Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menumpaskan sindiket pengedaran rokok terbesar di negeri tersebut bernilai RM6.66 juta dalam dua serbuan berasingan di Kempas dan Pandan di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 3 petang ke atas sebuah lori di Plaza Tol Kempas, seorang pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan bersama 420 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3.33 juta.

Sementara dalam serbuan kedua kira-kira jam 5.40 petang di Pandan, katanya, pemandu lori iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun ditahan bersama 416 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama.

"Bekalan rokok dipercayai dari negara jiran, melalui perairan negara. Sindiket banyak mendarat di kawasan perairan timur Johor. Ada yang melalui jalan diwartakan dan tidak diwartakan.

"Modus operandi sindiket kini dikesan tidak lagi menyimpan stok rokok seludup dalam gudang penyimpanan kerana mudah dikesan polis. Sebaliknya sindiket akan transit rokok seludup di perairan negara ke dalam bot-bot kecil dan terus dibawa ke darat dan dipindahkan ke dalam lori untuk diedarkan di dalam negeri atau pasaran luar," katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor di Tampoi di sini, hari ini.

Ayob (depan) menunjukkan lori yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup dalam dua serbuan di Pandan dan Kempas.
Ayob (depan) menunjukkan lori yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup dalam dua serbuan di Pandan dan Kempas.

Hadir sama, Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Ayob Khan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 ( 1) ( E) Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek direman bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, polis bukan sahaja akan menggempur sindiket terlibat tetapi juga premis yang menjual rokok seludup ini.

"Polis akan menggempur premis-premis ini mengikut daerah dalam masa terdekat," katanya.

Beliau menambah, kesalahan berkaitan penyeludupan seperti rokok dan arak telah dicadangkan untuk diletakkan di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Kita sudah cadangkan kesalahan penyeludupan ini dimasukkan dalam SOSMA dan jenayah terancang kerana kegiatan ini sindiket bukan individu, polis lebih mudah ambil tindakan terhadap mereka.

"Kita telah kenal pasti 'kepala' sindiket penyeludupan ini tetapi untuk kaitkan dengan aktiviti penyeludupan ini adalah sukar. Justeru kita sudah cadangkan supaya kesalahan ini dimasukkan di bawah SOSMA," katanya.