Pekerja kedai aksesori kereta belasah isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MARANG - Seorang pekerja di sebuah kedai aksesori kereta direman selepas dipercayai memukul isterinya di sebuah rumah kedai disewa wanita itu di Bukit Payong di sini dalam kejadian kelmarin.

Majistret, Engku Nurul Ain Engku Muda mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 26 tahun itu selama empat hari bermula semalam.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Suspek ditahan susulan laporan dibuat isterinya berusia 24 tahun yang mendakwa sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 6.30 petang, mereka ada bertengkar selepas berlaku perselisihan faham kecil.

Suri rumah itu mendakwa suspek yang gagal mengawal emosi terus bertindak menendang belakangnya beberapa kali dan juga memukul kepalanya dengan kuat.

"Kejadian itu turut disaksikan sepupu mangsa yang kebetulan berada di lokasi sebelum bertindak memujuk dan cuba menghalang suspek daripada terus memukul wanita itu.

"Suspek dalam keadaan masih tidak berpuas hati terus melarikan diri meninggalkan lokasi dengan membawa anak perempuan mereka yang berusia 11 bulan bersama," kata sumber ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber, akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan sakit di belakang badan dan kepala serta di anggota badan lain.

Artikel Berkaitan:

Kata sumber, tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian selain bimbang akan keselamatan diri dan anak tunggalnya, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.