PBS enggan ulas mengenai Aliakbar

Maximus Ongkili
Maximus Ongkili
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili enggan mengulas berhubung pelantikan membabitkan Setiausaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik hari ini.

"Tiada komen setakat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, PBS berpendapat bahawa tiada asas untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertimbangkan pelantikan ADUN daripada Pas kerana parti itu tidak bertanding atau tidak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Pas Sabah disenarai ADUN

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut memberitahu tiada yang dapat menghalang penyertaan mana-mana parti jika mereka rakan sekutu atau komponen dalam kerjasama atau gabungan politik yang telah diwujudkan untuk tujuan memenangi pilihan raya dan seterusnya pembentukan kerajaan.

Sementara itu, usaha wartawan Sinar Harian menghubungi Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan untuk mendapatkan maklum balas berhubung pelantikan itu gagal.

Jeffrey sebelum ini turut membidas pihak tertentu yang menyebarkan berita palsu berhubung pelantikan ADUN dilantik dari PAS sebagai Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Terdahulu, wujud pertikaian daripada pelbagai pihak terutama parti pembangkang yang kurang bersetuju adanya lantikan membabitkan parti Pas untuk sertai DUN Sabah.

Antara yang lantang sebelum ini ialah ADUN Kapayan dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Jannie Lasimbang yang mendakwa bahawa PAS merupakan parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan dengan wakilnya di dalam kerajaan negeri Sabah akan mengganggu keharmonian agama dan kaum di negeri ini.

Artikel Berkaitan: