NGO belia syor tiada kempen, pertandingan PRK Batu Sapi

Mazlan Joe Manan
Mazlan Joe Manan
A
A
A

KOTA KINABALU - Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah Sabah mengesyorkan satu mekanisme baharu diwujudkan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi diadakan tanpa kempen atau tanpa pertandingan.

Pengerusinya, Mazlan Joe Manan berkata, langkah itu perlu diambil berikutan peningkatan penularan kes Covid-19 sehingga menimbulkan kebimbangan kepada rakyat di negeri ini.

"Anak muda mendesak agar ada satu mekanisme baharu dan lebih prihatin kepada rakyat daripada pemimpin parti politik di Sabah terutamanya agar PRK diadakan tanpa kempen atau tanpa pertandingan supaya usaha memerangi Covid-19 ini tidak tergendala dan sia-sia.

"Demi kepentingan dan keselamatan rakyat di negeri ini terutamanya, pemimpin setiap parti politik diminta duduk semeja berunding mencari langkah terbaik untuk PRK Batu Sapi ini supaya tidak lagi berlaku peningkatan penularan Covid-19," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan PRK Parlimen Batu Sapi akan diadakan, bagaimanapun tarikh PRK, hari pengundian awal dan tarikh penting lain akan ditentukan dalam mesyuarat Selasa ini.

Mengulas lanjut Mazlan berkata, kepentingan dan keselamatan rakyat negeri ini perlu diutamakan terlebih dahulu kerana pandemik Covid-19 memberi masalah lebih besar dari segi ekonomi dan sosial.

"Semua pihak mengetahui bahawa penularan secara aktif Covid-19 disebabkan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

"Oleh demikian, semua pihak dari kerajaan, pimpinan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak harus memainkan peranan penting bersama-sama membantu rakyat memerangi pandemik Covid-19 ini," katanya.

Artikel Berkaitan: