Tiada lagi suntikan dana kepada MAB: Menteri

Kementerian Kewangan tidak akan menyuntik apa-apa tunai atau modal kepada syarikat MAB melalui Khazanah.
Kementerian Kewangan tidak akan menyuntik apa-apa tunai atau modal kepada syarikat MAB melalui Khazanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyuntik dana lagi kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan ia bergantung sepenuhnya kepada pemilik tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk menyelesaikannya.

“Kami secara konsisten menyatakan bahawa ini adalah perkara yang Khazanah perlu menyelesaikannya.

“Kementerian Kewangan (MoF) tidak akan menyuntik apa-apa tunai atau modal (lagi) kepada syarikat penerbangan melalui Khazanah.

"Oleh itu, Khazanah (sebagai pemilik tunggal) perlu merangka langkah sendiri untuk memastikan kelangsungan Malaysia Airlines,” katanya dalam program Breakfast Grille stesen radio BFM hari ini.

Menurutnya, setakat ini kerajaan tidak melihat sebarang sokongan perlu diberikan sebagai jaminan kepada MAB atau memutuskan syarikat penerbangan itu ditutup.

“Ia terpulang kepada Khazanah sebagai pemilik tunggal Malaysia Airlines. Saya tidak pernah cakap akan menutup Malaysia Airline," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cahaya di hujung terowong buat MAS

Kerajaan tidak sedia peruntukan biaya Malaysia Airlines

Artikel Berkaitan:

'Apa nasib kakitangan Malaysia Airlines nanti...'

Reuters pada Rabu melaporkan bahawa syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), mengingatkan syarikat pajakan bahawa Khazanah akan berhenti membiayai kumpulan itu, memaksanya kepada proses penutupan jika perbincangan mengenai penstrukturan semula dengan pemberi pajakan tidak berjaya.

Ingatan daripada MAG, meningkatkan kepentingan dalam rundingan untuk penyusunan semula kewangan dikenali sebagai "Plan A" dan menetapkan pelan alternatif untuk mengalihkan dana kepada syarikat penerbangan sekutu, Firefly, menurut surat yang dilihat oleh Reuters.

Sebelum ini, Khazanah melihat kepada kemungkinan penggabungan dengan syarikat penerbangan lain, termasuk dengan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, sejak tahun lepas, tetapi tidak berjaya.

Pandemik Covid-19 telah menjejaskan industri penerbangan dengan pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia menutup operasi atau berdepan muflis berikutan pintu sempadan ditutup dan pesawat tidak dibenarkan berlepas.

Sementara itu, penganalisis penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof dilaporkan berkata MAB perlu dibubarkan berikutan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

“Malaysia Airlines sudah lama berdepan dengan masalah dan sukar untuk ditangani. Dengan penularan Covid-19, kewangan syarikat itu semakin sukar untuk diatasi.

“Sejak tragedi MH370 dan MH17, Malaysia Airlines telah mengalami kesukaran untuk meningkatkan jenama mereka. Prestasi syarikat semakin merosot dan Malaysia Airlines sememangnya mempunyai isu legasi sejak bertahun lamanya.

“Kita perlu akur bahawa Malaysia Airlines mempunyai masalah yang besar dan pada pendapat saya, kita bubarkan Malaysia Airlines,” katanya kepada Astro Awani.

Industri penerbangan dijangka kehilangan AS$84.3 bilion pada 2020 untuk margin keuntungan bersih sebanyak -20.1 peratus, manakala perolehan akan merosot 50 peratus kepada AS$419 bilion daripada AS$838 bilion pada 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam prospek kewangannya untuk pengangkutan udara global, IATA berkata bagi 2021, kerugian dijangka berkurangan kepada AS$15.8 bilion berikutan perolehan meningkat kepada AS$598 bilion.

“Dari segi kewangan, 2020 akan menjadi tahun paling sukar dalam sejarah penerbangan. Pada purata, setiap hari pada tahun ini akan menambah AS$230 juta kepada kerugian industri. Secara keseluruhannya, kerugian itu sebanyak AS$84.3 bilion,” katanya. - Bernama