JAS sahkan tapak buangan tiada lesen, EIA

Rosli Zul menunjukkan sampel tanah berwarna hijau yang diambil dari tapak pembuangan.
Rosli Zul menunjukkan sampel tanah berwarna hijau yang diambil dari tapak pembuangan.
A
A
A

IPOH - Tapak pelupusan haram yang dipercayai menjadi tempat buangan sisa industri dekat Kampung Ulu Chepor di sini tidak pernah dilesenkan sebagai tapak buangan terjadual.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, berdasarkan rekod, pihaknya juga mendapati kawasan seluas 0.5 hektar itu tidak mendapat sebarang kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Menurutnya, sekiranya siasatan dan analisa kimia dilakukan menunjukkan bahan buangan itu terjadual dari sektor industri, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan mandatori penjara.

"Apabila bahan buangan tersebut dapat disahkan sama ada dari buangan terjadual atau bahan kimia berbahaya, maka kita boleh gunakan kuasa di bawah akta sedia ada bagi mengarahkan pemilik tanah melakukan pengorekan.

"Langkah itu untuk kita melihat sejauh mana penanaman bahan berwarna ini di tapak berkenaan dan seterusnya kita mahu mengetahui dari mana bahan tersebut diperoleh," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JAS Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan warna dan keadaan sekeliling, didapati bahan buangan itu lebih menjurus kepada bahan buangan industri.

Bagaimanapun katanya, JAS perlu menunggu laporan analisa daripada Jabatan Kimia yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk mengetahui kandungan logam berat dari sisa terbabit.

"Jika kandungan itu terdiri daripada merkuri, arsenik atau plumbum, tahap bahaya pencemaran di kawasan itu sangat tinggi tetapi kalau tin (aluminium) kurang berbahaya dan kurang berisiko," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rosli berkata, buat masa ini, JAS sudah mengambil dua sampel tanah di tapak dan air dari Sungai Chepor untuk tujuan analisa kimia selain melakukan pemantauan kualiti udara di sekitar.

"Ujian dan pemantauan ini untuk membantu kita melaksanakan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang yang ada kepada pihak berkenaan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kemunculan bahan berwarna hijau yang bercampur dengan tanah di satu kawasan berhampiran sebuah resort di Kampung Ulu Chepor menimbulkan tanda tanya sama ada kawasan tersebut dicemari sisa buangan kimia atau sebaliknya.

Kejadian itu hanya disedari selepas kerja-kerja mengorek tanah dilakukan pemilik resort untuk membaiki salur pembetung yang pecah berhampiran resort tersebut sejak dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri campuran tanah berwarna hijau