Calvert-Lewin tak sabar serap ilmu Kane

Calvert-Lewin kini sedang mencipta nama apabila merekodkan sembilan gol dalam enam perlawanan.
Calvert-Lewin kini sedang mencipta nama apabila merekodkan sembilan gol dalam enam perlawanan.
A
A
A

PENYERANG berbisa Everton, Dominic Calvert-Lewin mengakui cukup teruja untuk digandingkan dengan bintang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane dalam skuad kebangsaan England.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, panggilan pertama bersama The Three Lions membolehkannya mempelajari pelbagai perkara baharu daripada Kane yang dianggap cukup berpengalaman.

“Saya selalu melihat dan belajar bagaimana cara Kane menjaringkan gol secara konsisten. Kane telah lama beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan itu telah mematangkan corak permainannya.

“Kane mempunyai banyak teknik yang dapat saya pelajari dan harap ia dapat dipraktikkan dalam corak permainan saya. Bagi saya, Kane adalah seorang pemain yang mempunyai kemampuan cukup hebat dalam menjaringkan gol.

“Sebagai pemain baharu dalam pasukan, sangat bagus untuk saya melihat bagaimana Kane beraksi dengan lebih dekat. Saya sudah tidak sabar untuk digandingkan bersama Kane,” katanya.

Calvert-Lewin memulakan saingan musim ini bersama The Toffees dengan momentum prestasi luar biasa apabila meledak sembilan gol termasuk merekodkan dua kali hatrik dalam enam perlawanan.

“Ini permulaan yang bagus untuk kelab dalam memberi lebih cabaran kepada pesaing-pesaing hebat yang lain. Saya mempunyai perasaan yang baik pada awal musim ini, saya merasa lebih bersedia.

“Saya akui kelab mengalami sedikit impak negatif semasa penangguhan liga. Namun, saya tahu dengan pemain yang kami ada dan kualiti dalam sesi latihan, kami akan mengharungi permulaan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Kami masih belajar memperbaiki corak permainan masing-masing. Sebagai sebuah kelab kecil, tentunya cita-cita setiap pemain adalah layak beraksi di pentas Eropah dan mengakhiri saingan liga di kedudukan tertinggi,” ujarnya.