Kantoi buat laporan polis palsu

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahu mengelak daripada diambil tindakan kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam, dua lelaki tempatan membuat laporan palsu dalam dua kes berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 29 dan 59 itu dalam laporannya memalsukan tarikh, tempat kejadian dan punca kemalangan sebenar.

"Lelaki pertama membuat laporan terlibat kemalangan di Jalan Seroja 1, Johor Jaya pada jam 12 tengah hari ini mendakwa keretanya dilanggar kenderaan dengan nombor tidak pasti semasa parkir di tepi jalan berkenaan.

"Kejadian sebenar berlaku pada di Jalan Rosemerah, Johor Jaya pada 2 Oktober lalu. Seorang lagi lelaki menyatakan kemalangan pada jam 7.15 pagi ini di Jalan Gangsa, Pasir Gudang. Dia mendakwa tidak pasti nombor kereta yang melanggarnya kenderaannya.

"Namun siasatan mendapati kejadian sebenar adalah semalam di Lebuhraya Iskandar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tujuan berbuat demikian kerana gagal membuat laporan dalam tempoh ditetapkan tanpa alasan munasabah dan mengelak daripada diambil tindakan atas kecuaian diri sendiri semasa pemanduan hingga menyebabkan kemalangan.

"Semua ini bagi memudahkan urusan dengan pihak insurans. Apabila Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam melakukan siasatan, kedua-dua laporan itu didapati palsu," katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan diambil tindakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, polis memberi amaran agar orang ramai lebih bertanggungjawab dengan laporan yang tepat dan benar berkaitan kemalangan jalan raya atau melibatkan kegiatan jenayah.

Tegasnya, polis mengambil serius dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu.

"Kita akan mengetahui kesahihan kebenaran satu-satu laporan selepas pegawai penyiasat melakukan siasatan lanjut berkaitan apa yang dilaporkan pengadu. Daripada situlah kita tahu laporan itu betul atau tidak," katanya.