Sindiket 'cuci duit': Tiga pegawai, dua anggota polis ditahan

ACRYL SANI
ACRYL SANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima anggota polis ditahan disyaki terlibat sindiket ‘cuci duit’ berkait dengan perniagaan selebriti tanah air sebelum ini.

Tanpa memperincikan butiran lanjut kes itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan perkara berkenaan, ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pegawai dan dua anggota polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini, hanya lima anggota polis ditahan manakala siasatan kes ini (sindiket ‘cuci duit’) saya serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, kes ‘cuci duit’ berkenaan mempunyai kaitan dengan macau scam.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, suruhanjaya itu telah menemui sejumlah wang tunai kira-kira RM100,000 di kediaman salah seorang pegawai polis yang ditahan.

“Pegawai polis itu kini ditahan bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan sesetengah pihak di media sosial berhubung penglibatan pegawai polis dalam sindiket `cuci duit’.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Bernama melaporkan SPRM memanggil sepasang suami isteri bergelar artis, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram. - Bernama