Wacana Sinar catat rekod siri ke-200

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Program Wacana Sinar Harian terus mengungguli tangga teratas sebagai siri bual bicara digital terpanjang di Malaysia selepas sembilan tahun bersiaran.

Bagi meraikan siri ke-200 sejak wacana itu dianjurkan pada 2011, Wacana Sinar hari ini membawakan tajuk istimewa ‘Antara Kepimpinan Muhyiddin atau Cita-cita Anwar’ yang menemukan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dengan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Dr Muhd Faiz Na’aman.

Wacana yang berlangsung selama satu jam itu dikendalikan oleh moderator, Herleena Pahlavy dan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh selaku penganalisis politik.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkata, program Wacana Sinar yang bersiaran dua kali seminggu itu berkonsepkan perbincangan intelektual dan perkongsian pendapat tiga panel berlainan latar belakang dan dikendalikan seorang moderator profesional.

"Kami memberikan kebebasan kepada panel untuk mengemukakan pandangan serta pendapat mereka berhubung isu-isu semasa dan mengulas topik mengikut kepakaran bidang masing-masing.

"Adakalanya berlaku juga perselisihan pendapat dalam kalangan ahli panel, bagaimanapun pada akhir rancangan kesemuanya berpeluang menjawab dan menjelaskan pandangan masing-masing,” katanya di sini semalam.

Program itu disiarkan di platform portal www.sinarharian.com.my, Facebook Sinar Harian, YouTube Sinar Harian dan Twitter @SinarOnline pada 8.30 jam malam di Studio F, Sinar Harian di sini.

Menurut Baharom, sebagai sebuah media bebas tanpa pengaruh mana-mana parti politik, Sinar Harian adalah platform terbaik untuk semua pihak mengutarakan apa sahaja isu menyentuh bidang politik, ekonomi dan hal-hal kemasyarakatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Digital Sinar Harian, Ruzy Adila Idris berkata, penganjuran wacana itu juga sangat istimewa kerana ia mempunyai pengikut dan peminat tersendiri.

“Apa yang penting, kebanyakan pengikut program ini sangat bersifat terbuka dan setiap hujah dan juga pandangan panel diraikan dengan memberi cadangan juga komen-komen membina,” katanya.

Wacana Sinar Harian buat pertama kalinya dianjurkan pada 11 Februari 2011 bertajuk Daftar Pengundi: Wajarkah Diwajibkan? dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; bekas Timbalan Menteri di JPM, Fuziah Salleh; bekas Timbalan Setiausaha Operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah; bekas Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia, Prof Hamdan Adnan sebagai panel dan moderatornya adalah Kamarul Bahrin Haron.