KKM kata sekolah masih selamat, netizen dakwa sebaliknya

No Image Caption
A
A
A

BARU sahaja hendak menarik nafas lega dengan penurunan kes baharu pandemik koronavirus (Covid-19) kepada satu angka, kini rakyat Malaysia terpaksa kembali menyingsing lengan bagi menghadapi virus itu.

Wabak yang bermula dari bandar raya Wuhan di China itu mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 kini kembali merobek luka kita yang masih berparut.

Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali semalam tentang keadaan sekolah yang masih dianggap sebagai kawasan selamat untuk pelajar benar-benar meresahkan golongan ibu bapa termasuk kumpulan netizen.

Menurut Dr Noor Azmi, kerajaan tiada cadangan untuk menutupnya kecuali bagi lokasi yang mencatat pertambahan kes positif Covid-19. Selain itu, katanya, sekolah juga perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat seperti penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan pengawasan aktiviti berkumpulan.

Apabila Merak Jalanan meneliti komen-komen netizen berhubung kenyataan Noor Azmi, memang rata-ratanya menyatakan kekesalan dan mahukan sekolah ditutup bagi menjamin keselamatan anak-anak dan guru-guru.

Menurut netizen bernama Abdul Rahim Abdul Rahim, “Sekolah memang tempat yang selamat tetapi warga yang keluar masuk sekolah itu yang menentukan selamat atau tidak.”

Sementara itu, seorang lagi netizen, Mohamad Nor pula berkata, “Penjara pun tempat selamat kerana dikelilingi tembok, tetapi Covid tetap serang juga.”

Kesimpulannya, Malaysia kita masih berada dalam fasa pemulihan dan masih lagi memerlukan sokongan penuh rakyat untuk melawan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Patuhilah amaran kerajaan dan teruskan duduk di rumah. Amalkan semula norma-norma baharu seperti dahulu.