Kasihanilah rakyat, ramai sedang menderita

No Image Caption
A
A
A

TIADA sesiapapun yang boleh menafikan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan baru-baru ini menyumbang kepada peningkatan mendadak kes baharu Covid-19.

Saya amat yakin semua pihak boleh dan sudah menjangkakan kenaikan itu. Adalah suatu yang sukar untuk diterima akal jika ia dikatakan di luar jangkaan kerana ia melibatkan tempat yang ada jangkitan.

Untuk menyesal, merungut dan sebagainya sudah tidak berguna lagi. Terpaksalah kita menghadapi segala kemungkinan seandainya angka tersebut semakin naik. Sebelum ini kita berasa begitu gembira apabila angkanya sudah turun kepada satu angka sahaja.

Walaupun menyedari bahawa virus Covid-19 masih belum hilang tetapi penurunan kes baharu sebelum ini amat melegakan semua pihak.

Paling tidak, mereka yang terjejas sumber pendapatan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dapat menarik nafas lega apabila dapat kembali berusaha mencari rezeki biarpun ia amat sukar.

Orang yang makan gaji terutama kakitangan kerajaan mungkin tidak sangat merasai penderitaan kehilangan pekerjaan. Tetapi bagi mereka yang bekerja di syarikat swasta dan para peniaga, mereka memang terjejas teruk.

Manakan tidak, berapa ramai orang yang kehilangan pekerjaan semenjak musibah ini menimpa seluruh dunia, malah yang berniaga tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Segala-galanya terbatas. Kehilangan punca pendapatan memang memberikan satu tekanan kepada orang yang mengalaminya. Apatah lagi jika ramai tanggungan di bawahnya.

Dengan kembalinya peningkatan jumlah jangkitan selepas PRN baru-baru ini, rakyat menjadi semakin resah malah kemarahan rakyat amat terserlah. Selama ini rakyat sentiasa diberi amaran supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.

Saya yakin ramai rakyat yang patuh dengan arahan dan nasihat pihak berkuasa walaupun ada juga sebilangan kecil yang melanggarnya, namun apabila ada pemimpin sendiri tidak menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat, ia adalah suatu yang amat mengecewakan.

Sikap mengambil mudah terhadap SOP menunjukkan bahawa mereka hanya mementingkan diri mereka sahaja dan bukannya rakyat.

Seorang pemimpin hendaklah sentiasa ingat bahawa segala tindak tanduk mereka dan apa jua keputusan yang mereka buat hendaklah berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan mereka.

Sepatutnya mereka mendahulukan rakyat dan bukannya hanya memikirkan kepentingan mereka semata-mata.

Untuk rakyat yang hilang sumber pendapatan, bantuan memang boleh diberi tetapi ia bukan selamanya boleh berkekalan begitu.

Sepatutnya para pemimpin berfikir dan berusaha bagaimana untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

Rancanglah bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi negara agar rakyat tidak berterusan menderita kehilangan sumber pendapatan. Apa yang berlaku hari ini adalah ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Rakyat menderita kerana pemimpin yang tidak memikirkan kepentingan rakyat. Mereka lebih utamakan perkara lain daripada melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Saya yakin, jika rakyat diutamakan, tentu sekali tidak akan berlaku apa yang telah berlaku kini. Jika rakyat diutamakan, tidak akan berlaku memilih bulu dalam hal kepatuhan kepada SOP. Kerana semua pihak tahu bahawa kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19.

Sebagai rakyat, saya merayu kepada pihak pimpinan, kasihanilah rakyat. Ramai yang sedang menderita kehilangan punca pendapatan. Fikirkanlah kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan.

Wallahuaklam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah