KKM kenal pasti Kluster Bah Puchong, Kluster Penjara Reman

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman merupakan kluster terbaru jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Puchong melibatkan daerah Petaling di Selangor, Matang, Larut dan Selama, Kinta di Perak.

"Tiga kes indeks bagi kluster tersebut iaitu kes ke-13,061, 13,065 dan 13,069 yang dikesan positif pada 5 Oktober lalu hasil saringan pulang dari Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pesakit tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 dikesan di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta," katanya.

Beliau berkata, pesakit dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

"Sehingga hari ini, seramai 39 individu telah disaring dengan 34 orang lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Kluster Penjara Reman dikenalpasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks kluster tersebut iaitu kes ke-13,499 merupakan kes kematian ke-141 yang dijumpai tidak sedarkan di dalam penjara pada Isnin lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan.

"Enam kes lagi dikesan positif dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang," katanya.

Sehingga kini, seramai 286 individu telah disaring yang mana 78 orang disahkan negatif Covid-19 dan 201 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Punca jangkitan bagi kedua-dua kluster berkenaan masih dalam siasatan," katanya.