5 agensi terima 5 bintang

Addy Husszairi (enam, kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah.
Addy Husszairi (enam, kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah.
A
A
A

SEREMBAN - Lima agensi kerajaan di negeri ini memperoleh tahap pencapaian cemerlang bertaraf lima bintang menerusi Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (iAKKP) 2017.

Agensi berkenaan ialah Majlis Perbandaran Seremban, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Yayasan Negeri Sembilan, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Sembilan.

Manakala tiga agensi lagi memperoleh pencapaian pada tahap baik dengan penarafan empat bintang iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan.

Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia Negeri Sembilan, Addy Husszairi Husin berkata, kesemua penerima dinilai berdasarkan penilaian inspektorat dengan melihat beberapa aspek.

“Antaranya keselamatan rahsia rasmi, komitmen pengurusan, keselamatan fizikal, keselamatan rahsia rasmi dalam persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi dan pengurusan kesinambungan perkhidmatan.

“Berdasarkan penilaian, semua agensi atau jabatan ini tunjuk prestasi cemerlang memastikan penyampaian sistem pengurusan keselamatan pada tahap terbaik,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil iAKKP 2017 di sini, semalam.

Addy Husszairi berkata, dalam penilaian dibuat, antara kriteria dilihat agak sukar dicapai ialah cara uruskan dokumentasi.

Beliau memberi contoh berkenaan sesuatu fail yang sepatutnya disediakan empat, tetapi hanya fail tambahan yang disediakan bertujuan memudahkan kerja.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kita sarankan ikut prosedur kerja yang ditetapkan atau dapatkan khidmat nasihat dari iAKKP atau Jabatan Arkib Negara terutamanya dalam soal jaga kerahsiaan dan aset kerajaan supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

iAKKP merupakan anugerah dwitahunan dan diberikan kepada agensi kerajaan yang mematuhi Peraturan Keselamatan Perlindungan ditetapkan kerajaan termasuk menggalakkan pembudayaan persekitaran sistem pengurusan keselamatan perlindungan kondusif.

Tahun ini, 10 agensi kerajaan akan dipertandingkan antaranya JPS; Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan; SPRM Negeri Sembilan; Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan; Pejabat Mara Negeri Sembilan; Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; Pejabat Fama Negeri Sembilan; Akademi Audit Negara; Majlis Daerah Jelebu dan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.