489 kes baharu Covid-19 hari ini

Sampel yang diambil dari orang ramai yang hadir bagi menjalani proses ujian saringan Covid-19 bersasar secara percuma semalam. - Foto Bernama
Sampel yang diambil dari orang ramai yang hadir bagi menjalani proses ujian saringan Covid-19 bersasar secara percuma semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 489 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini termasuk dua kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah sebanyak 13,993 dengan jumlah kes aktif adalah 3,351.

Menurutnya, pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) turut mencatatkan peningkatan 40 kes.

"Pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU adalah 13 kes.

"Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan ia kekal pada 141 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 74 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini dengan jumlah kumulatif discaj adalah 10,501 kes.

Memperincikan penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, 139 daripada 489 kes adalah merupakan Kluster Tembok iaitu penjara di Kedah.

"Sebanyak 14 kes lagi dikesan di Kedah yang melibatkan Kluster Bah Sintok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di Sabah,sebanyak 282 kes dikesan termasuk 182 kes saringan komuniti.

"Terdapat 71 kes saringan bergejala, 22 kes kontak rapat, dua Kluster Laut dan dua lagi saringan kemasukan ke hospital.

"Tiga kes iaitu masing-masing satu kes saringan rujukan ke hospital, pra pembedahan dan tahanan," katanya.

Katanya, di Selangor, terdapat 19 kes positif Covid-19 dikesan KKM.

"Ia adalah tujuh kes membabitkan pulang dari Sabah, empat kes Kluster Jalan Meru, tiga saringan bergejala dan dua kes Kluster Benteng PK.

"Dua kes lagi terdiri daripada Kluster Embun dan saringan kontak rapat," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Pulau Pinang pula merekodkan tujuh kes iaitu enam Kluster Penjara Reman dan satu saringan kontak rapat kes positif.

"Johor mencatatkan lima kes pulang dari Sabah dan satu Kluster Selasih," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut mengesan empat kes di Perak yang melibatkan dua daripada Kluster Bah Puchong dan satu kes pulang dari Sabah serta kontak rapat kepada kes positif.

"Terengganu mempunyai empat kes baharu yang terdiri daripada dua saringan kontak rapat, satu kes bergejala dan satu lagi Kluster Bah Tanjung," katanya.

Beliau berkata, Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing merekodkan tiga kes.

"KKM juga mengesan dua kes bagi Pahang dan Putrajaya manakala satu kes di Negeri Sembilan serta Kelantan," katanya.

Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

"Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan," katanya.