Trump terus pamer sisi bodoh

Ciapan Trump yang dilabel melanggar peraturan Twitter kerana menyebarkan informasi yang tidak tepat berkaitan Covid-19 dan berpotensi berbahaya. - Foto: Agensi
Ciapan Trump yang dilabel melanggar peraturan Twitter kerana menyebarkan informasi yang tidak tepat berkaitan Covid-19 dan berpotensi berbahaya. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mempamerkan kebodohannya selepas beliau berterusan memandang rendah ancaman koronavirus (Covid-19) walaupun selepas didiagnos positif virus terbabit dan masih belum sembuh sepenuhnya.

Semalam, Facebook dan Twitter mengambil tindakan tegas gara-gara bilionair hartanah terbabit mendakwa Covid-19 tidak berbahaya seperti selesema.

"Musim selesema bakal tiba! Ramai orang pada setiap tahun, kadangkala lebih 100,000 maut akibat selesema walaupun diberikan vaksin. Adakah kita akan menutup negara ini? Sudah tentu tidak kerana kita telah belajar untuk hidup dengannya.

"Sama seperti kita belajar hidup dengan Covid-19 yang kurang membawa maut dalam kebanyakan populasi penduduk!!!' ujarnya menerusi kedua-dua media sosial terbabit.

Facebook kemudiannya bertindak memadamkan status tersebut kerana ia didakwa mengandungi maklumat salah tentang tahap ancaman sebenar Covid-19.

Sementara itu, Twitter dalam satu kenyataan memaklumkan ia tidak mengambil tindakan sama sebaliknya meletakkan label amaran berikutan ciapan Trump didakwa melanggar peraturan laman blog mikro terbabit kerana menyebarkan informasi yang tidak tepat berkaitan Covid-19 dan berpotensi berbahaya.

Difahamkan, ia bukan pertama kali Trump dikenakan tindakan tegas gara-gara gemar mengeluarkan kenyataan kurang bijak tanpa menyemak fakta sahih di media sosial.

Pada Ogos lalu, Facebook pernah memadamkan status yang disertakan bersama sebuah video yang mendakwa kanak-kanak kononnya hampir kebal daripada virus tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 18 individu termasuk kontak rapat Trump disahkan positif Covid-19 selepas pegawai kesihatan kini meningkatkan pemeriksaan untuk mengesan kluster di kediaman rasmi Presiden AS.

Pembantu kanan Rumah Putih, Stephen Miller menjadi kakitangan terbaharu dijangkiti virus itu selepas beberapa pegawai tentera menjalani kuarantin susulan Laksamana Pengawal Pantai, Charles Ray didiagnos positif Covid-19.

"Sejak lima hari lalu, saya telah mengasingkan diri dan melakukan ujian saringan pada setiap hari. Hari ini, saya akhirnya disahkan positif Covid-19 dan akan menjalani kuarantin," katanya semalam.

Difahamkan, kakitangan Rumah Putih yang mempunyai kontak rapat dengan keluarga Trump melakukan ujian saringan setiap 48 jam malah mereka juga diminta mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain staf di kediaman rasmi presiden itu, tiga wartawan termasuk Michael Shear dari New York Times yang membuat liputan di Rumah Putih turut didiagnos positif Covid-19.

Status kesihatan Trump yang masih belum disahkan pulih walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom menyebabkan pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, Joe Biden meletakkan syarat menjelang sesi debat pusingan kedua yang akan berlangsung di Miami, Florida pada 15 Oktober ini.

"Saya berpendapat jika beliau masih positif virus itu, kami tidak sepatutnya meneruskan debat tersebut," ujarnya.

Sejak Isnin lalu, Trump kembali bertugas di Rumah Putih selepas beliau dibenarkan untuk discaj dari Walter Reed Medical Center di luar Washington dan keadaan kesihatannya terus dipantau pasukan perubatan. - Agensi