X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak salah beri peluang kepada Pas di Sabah

MOHD AMAR
A
A

KOTA BHARU - Tidak salah untuk Pas diberikan peluang menganggotai Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah meskipun tidak bertanding apa-apa kerusi pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berdasarkan pengalaman parti itu mentadbir negeri Kelantan selama 30 tahun ternyata Pas sebagai sebuah kerajaan tidak meminggirkan hak yang sepatutnya dinikmati oleh orang Islam dan bukan Muslim.

Menurutnya, sekiranya wakil Pas dilantik dalam DUN di Sabah ia mungkin boleh memberi sumbangan yang sangat bermanfaat kepada negeri tersebut.

“Kita serah kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Mohd Noor), dia lantik atau tidak, kita tidak boleh kata apa-apa. Cuma kita harap Ketua Menteri boleh memberi peluang kepada Pas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah.

“Peluang memberikan perspektif kita berdasarkan pengalaman Pas di Kelantan selama 30 tahun ini, sebabnya masyarakat majmuk bukan sahaja ada di Sabah tetapi di Kelantan juga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Johnity Ongkili yang mengatakan tiada asas bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertimbangkan pelantikan wakil pemimpin mereka seperti Pas untuk anggotai Kabinet atau DUN Sabah.

Mohd Amar yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menyifatkan pandangan Maximus keterlaluan dan melampau.

“Sebabnya, Pas adalah parti yang berdaftar secara sah di Malaysia dan kewujudan parti ini tidak mencetuskan sebarang huru-hara meskipun kemungkinan ada pandangan kita kadang-kala agak keras dalam sesetengah isu.

“Ia dapat dibuktikan di Kelantan, keharmonian kaum di Kelantan inilah yang paling ketara. Kita memerintah selama 30 tahun. Tidak ada bukan Muslim yang ditekan dan dizalimi.

“Kalau kata kita ekstrem macam mana orang bukan Islam di Kelantan boleh terima Pas sampai 30 tahun,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!