Cikgu tadika rugi RM31,385 kena tipu

 Seorang guru tadika mengalami kerugian RM31,385 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank di cawangan Kuala Lumpur bulan lalu. Gambar hiasan
Seorang guru tadika mengalami kerugian RM31,385 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank di cawangan Kuala Lumpur bulan lalu. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang guru tadika mengalami kerugian RM31,385 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank di cawangan Kuala Lumpur bulan lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Polis Negeri Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 52 tahun berasal dari Alor Setar dan sudah berkahwin itu mengenali suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai tertinggi di sebuah bank di Kuala Lumpur bernama Nelson Chin Wen Wei menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah.

"Mangsa terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang dan bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM250,000 dan suspek menjanjikan kadar faedah dan bayaran balik pinjaman yang rendah.

"Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa untuk membuat pinjaman, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti bayaran insurans, membuka fail, bayaran percubaan pinjaman dan bayaran sistem pinjaman jika mahu mendapatkan pinjaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, atas dasar percaya, mangsa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek antara 14 September hingga 22 September lalu.

Menurutnya, mangsa turut membuat pinjaman wang daripada ahli keluarga untuk diserahkan kepada suspek.

"Penipuan ini mula disedari oleh mangsa apabila suspek meminta mangsa membuat lagi beberapa bayaran dan menyatakan jika mangsa mahu membatalkan pinjaman, pengadu perlu membayar sejumlah wang lagi.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berasa curiga dan syak telah ditipu telah membuat laporan polis di Sungai Petani pada 4 Oktober lalu," katanya.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).