Covid-19: Pemuda UMNO minta kerajaan putuskan tiga perkara utama

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggariskan tiga perkara utama yang perlu diputuskan kerajaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan bayaran sebanyak RM500 secara one-off perlu diberikan kepada mahasiswa yang terkesan dengan penangguhan mengejut kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kami berpandangan mahasiswa yang terjejas ekoran daripada penangguhan kemasukan akademik baru-baru ini perlulah diambil serius," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut menggesa tempoh moratorium yang tamat pada 30 September 2020 lalu untuk dilanjutkan selama sekurang-kurangnya tiga bulan.

Susulan penamatan tempoh moratorium setelah enam bulan dilaksanakan bermula 1 April tahun ini, ramai pihak menyuarakan kegusaran mereka terhadap kemampuan sebahagian besar rakyat Malaysia untuk memenuhi komitmen kewangan mereka khususnya golongan B40 dan M40.

Selain itu, Asyraf turut meminta supaya sesi persekolahan ditangguhkan sementara memandangkan kes penularan Covid-19 menunjukkan trend peningkatan sejak akhir-akhir ini.

Semalam, negara merekodkan peningkatan kes harian tertinggi semenjak permulaan penularan Covid-19 dengan kes baharu sebanyak 691 kes manakala terdapat empat kematian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Artikel Berkaitan: