Lebih 5,000 saman diberi diskaun 50 peratus

Orang ramai hadir ke kaunter bayaran saman sempena Karnival Hari Bertemu Pelanggan IPD Pontian pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Orang ramai hadir ke kaunter bayaran saman sempena Karnival Hari Bertemu Pelanggan IPD Pontian pada Jumaat dan Sabtu lalu.
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak 5,201 saman telah disemak atau diberi diskaun 50 peratus ke atas pengguna jalan raya sempena Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, saman terlibat ialah bagi kesalahan trafik pengguna jalan raya.

Menurutnya, bagi kesalahan di bawah kesalahan lalu lintas (POL. 170A), sebanyak 3,144 saman telah disemak manakala bagi saman Pol. 257 pula melibatkan 2, 057 saman yang dikemukakan pengguna sepanjang dua hari program dijalankan.

“Pol. 170A ialah notis dikeluarkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan tanpa kehadiran pemandu atau kesalahan yang dilakukan oleh pesalah trafik tanpa ditahan oleh polis seperti perangkap laju dengan menggunakan LSD (Laser Speed Detecter) atau Laser Perangkap Laju dan RLC (Red Light Camera) atau Kamera Lampu Isyarat Merah.

“Manakala saman POL. 257 ialah saman yang dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik apabila kesalahan dikesan oleh anggota trafik,” katanya, semalam.

Tambahnya, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan orang ramai dengan kehadiran lebih 1,000 orang sepanjang program dijalankan selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu lepas bermula jam 9 pagi.

“Bagaimanapun, tiada potongan bagi saman kemalangan, saman tidak boleh dikompaun, saman berstatus waran, saman dalam perbicaraan dan saman sempena Op Selamat tahun semasa,” katanya.

Katanya, sempena program tersebut, diadakan pameran daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti bagi memberikan maklumat kepada orang ramai yang hadir pada program tersebut.

Artikel Berkaitan: