Wasiyyah Shoppe lantik Dr Afifi sebagai penasihat

Ariffin (kanan) mengumumkan pelantikan Dr Afifi sebagai penasihat Wassiyah Shoppe.
Ariffin (kanan) mengumumkan pelantikan Dr Afifi sebagai penasihat Wassiyah Shoppe.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah peneraju yang berkepakaran di dalam industri perancangan harta secara syariah dan pengurusan pusaka di Malaysia mengumumkan pelantikan Datuk Dr Afifi al-Akiti sebagai penasihatnya berkuat kuasa 1 April lalu.

Dr Afifi yang juga dikenali sebagai Sheikh Afifi mencipta sejarah pada tahun 2008 apabila menjadi ulama Melayu pertama dilantik mengajar di universiti termasyhur di dunia sebagai Felo Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford.

Pada tahun 2010, beliau diiktiraf antara 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia (The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims).

Beliau ialah Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak Darul Ridzuan, yang juga menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja mengenai Hal Ehwal Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin berkata, pelantikan itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan ia selaras dengan strategi Wasiyyah Shoppe untuk mengembangkan perkhidmatannya ke peringkat antarabangsa di dalam jangka masa tiga tahun tersebut.

Katanya, Wasiyyah Shoppe Berhad mulai mengkaji secara serius potensi untuk mengembangkan perkhidmatan mereka kepada umat Islam seluruh dunia memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada pasaran antarabangsa untuk perkhidmatan perancangan harta secara syariah terutamanya di negara-negara komanwel.

"Kami yakin penyertaan Datuk Dr Afifi sebagai penasihat mampu menyumbang secara signifikan kepada usaha ini memandangkan beliau mempunyai jaringan antarabangsa yang baik serta pengalaman dan pengetahuan yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, melalui strategi pengantarabangsaan itu Wasiyyah Shoppe yakin mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perancangan harta secara syariah global sekali gus menerajui usaha membantu umat Islam dalam aspek perancangan harta pada peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Usaha perancangan harta ini sudah pun dibuat organisasi antarabangsa yang berpusat di United Kingdom dan Amerika Syarikat, namun kesemua asas perkhidmatan mereka adalah bersifat konvensional.

"Wasiyyah Shoppe beraspirasi untuk mewujudkan platform perancangan harta secara syariah peringkat global yang pertama di dunia,” katanya.

Wasiyyah Shoppe adalah penyedia dan pelaksana hibah terbesar di Malaysia dengan lebih dari 40,000 orang Islam telah menggunakan perkhidmatan hibahnya, manakala hampir 70,000 orang Islam mendapat manfaat daripada 35 jenis perkhidmatan ditawarkan semenjak penubuhannya pada 2004.