Ingkar SOP: 43 premis di Ipoh terima surat amaran

Rumaizi (kiri) melihat kerja-kerja sanitasi yang dilakukan oleh pekerja sebuah premis makanan di Pusat Perdagangan Greentown di sini hari ini.
Rumaizi (kiri) melihat kerja-kerja sanitasi yang dilakukan oleh pekerja sebuah premis makanan di Pusat Perdagangan Greentown di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan surat amaran kepada 43 premis di bandar raya ini kerana gagal mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sehingga 6 Oktober, MBI telah memeriksa 395 premis restoran dan kafe di sekitar bandar raya Ipoh dan 90 peratus daripadanya mematuhi arahan ditetapkan.

Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), MBI telah mengeluarkan syarat tambahan pelesenan kepada setiap premis makanan iaitu mematuhi SOP MKN dan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan 2020) termasuk syarat pembersihan dan nyah kuman iaitu sanitasi awam.

"Kegagalan mematuhi syarat ini, pihak MBI boleh mengeluarkan kompaun bernilai RM250 di bawah Undang-Undang Kecil Establisyen Makanan (MBI) 2017.

"SOP MKN jelas menyatakan bahawa pihak pengusaha kedai makan haruslah menjalankan pembersihan dan nyah kuman secara kerap mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita sempena Operasi Penguatkuasaan Pembersihan dan Nyah Kuman Premis Makanan di Pusat Perdagangan Greentown di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, operasi itu dijalankan bertujuan memberi kesedaran dan peringatan kepada premis-premis makanan di sekitar Ipoh supaya mereka mematuhi SOP MKN.

Katanya, terdapat sebanyak 2,850 premis restoran dan kafe yang beroperasi di bandar raya ini akan diperiksa dari semasa ke semasa.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai agar tidak bimbang untuk datang ke premis makanan di sekitar Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, biarpun kes penularan koronavirus (Covid-19) meningkatkan, namun pematuhan SOP premis di bandar raya ini sangat tinggi.