Perak aktifkan semula pusat kuarantin Covid-19

Ahmad Faizal pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.
Ahmad Faizal pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Pusat kuarantin di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai akan diaktifkan semula bagi mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat berkenaan mempunyai kapasiti 90 bilik dan akan dibuka dalam masa terdekat.

Menurutnya, walaupun keadaan wabak di negeri ini masih terkawal dengan bilangan kes tertinggi tertumpu di kawasan tertentu, namun kerajaan Perak komited dan berusaha untuk meminimumkan risiko penularan.

"Kita percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan pusat kuarantin akan membantu mengurangkan risiko penularan dengan memastikan individu berisiko dikuarantinkan di pusat kuarantin.

"Sehubungan itu, pusat kuarantin di ILSM akan diaktifkan semula di samping dua hotel sekitar Ipoh yang masih aktif sebagai pusat kuarantin dengan kapasiti 128 bilik bagi kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga telah meletakkan lima lagi pusat kuarantin dalam status bersiap sedia sekiranya diperlukan.

"Lima pusat tersebut ialah Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Institut Latihan Pegawai Awam Perak (ILPA), Teknologi Pendidikan Negeri Perak (TPNP) di Ipoh, Institut Latihan Perindustrian Tanah dan Ukur Negara (Instun) di Tanjung Malim serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru.

"Kelima-lima pusat kuarantin ini sedia untuk diaktifkan sekiranya diperlukan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam, lapan kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Perak hasil saringan individu di Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Kinta.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukkan lebih RM200,000 bagi meringankan beban mahasiswa Perak khususnya dalam kalangan keluarga B40 yang terkesan susulan penangguhan pendaftaran semuka bagi sesi semester Oktober ini.

Menurutnya, peruntukan itu membabitkan bantuan tunai sara hidup secara one-off sebanyak RM150 yang akan memberi manfaat kepada 1,500 mahasiswa Perak yang berada di institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

"Selain itu, kerajaan negeri juga sedia pertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan sekiranya terdapat permintaan daripada kumpulan mahasiswa yang terkandas di kampus," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan Tilawah Al-Quran Dewasa Online yang menyaksikan 34 peserta termasuk 12 wanita kesemuanya anak Perak mengambil bahagian.

Penilaian yang dibuat pada 13 Ogos lalu itu menobatkan seorang guru, Nur Hakim Mohamed Nor, 34, sebagai johan qari dan pensyarah, Noor Suhaiza Chulan, 34, johan kategori qariah.

Masing-masing membawa hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,000.

Turut disampaikan, Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik iaitu kepada Masjid Idrisiah dari kariah Bukit Bertam yang menerima hadiah RM5,000 dan peruntukan pembangunan berjumlah RM30,000.

Sementara itu, Gelong Pepuyu dianugerahkan sebagai Pengurusan Kubur Terbaik membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan peruntukan pembangunan tanah kubur sebanyak RM10,000.