Hadi bimbang kes Covid-19 meningkat

Tangkap layar Twitter Abdul Hadi hari ini.
Tangkap layar Twitter Abdul Hadi hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas hari ini menyuarakan kebimbangan berikutan kes harian pandemik koronavirus (Covid-19) terus meningkat terutama membabitkan kes penularan dalam negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kes jangkitan Covid-19 masih lagi meningkat hari demi hari dengan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 691 kes di seluruh negara semalam.

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang menyarankan seluruh rakyat agar mengamalkan normal baharu ketika ini dengan pemakaian pelitup muka dengan betul.

"Pastikan pelitup muka anda melindungi bahagian mulut dan hidung daripada terdedah. Marilah kita bersama-sama untuk hentikan wabak Covid-19," ciapnya dalam satu kenyataan di laman Twitternya hari ini.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah.

Ia menjadikan jumlah kluster aktif di Malaysia sebanyak 39 kluster.

Selain itu, sebanyak tujuh kluster aktif lain yang mencatatkan pertambahan kes positif Covud-19 termasuk Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30 kes), Kluster Jalan Meru (15 kes), Kluster Bah Sintok (tiga kes); Kluster Benteng PK (dua kes); manakala Kluster Selasih dan Kluster Embun masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Beliau turut menjelaskan, daripada 688 kes penularan dalam negara, sebanyak 394 kes melibatkan kes daripada Kluster Tembok iaitu penjara di Kedah sekali gus meliputi 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semalam.

Artikel Berkaitan: