Banduan meninggal dunia kerana Covid-19

Kenderaan rasmi Pengarah JKN Pulau Pinang dilihat memasuki pekarangan bangunan Penjara Reman Pulau Pinang tadi.
Kenderaan rasmi Pengarah JKN Pulau Pinang dilihat memasuki pekarangan bangunan Penjara Reman Pulau Pinang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua petugas dan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang dikesan menjadi kontak rapat dengan banduan lelaki yang meninggal dunia kerana koronavirus (Covid-19) dikuarantin dan diasingkan.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, pihaknya telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam menjalankan proses kuarantin tersebut.

Bagaimanapun, Mohamed Jusoh enggan mendedahkan jumlah kontak rapat yang sedang dikuarantin ketika ini.

"Kita mengikut SOP dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di penjara ini selepas seorang banduan meninggal dunia kerana dijangkiti virus itu, kelmarin.

"Saya tidak boleh maklumkan jumlah mereka yang diasingkan cuma saya boleh beritahu memang ada (petugas dan banduan) yang kontak rapat dengan si mati telah dikuarantin. Mereka juga telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam," katanya ketika dihubungi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Langkah segera asing tahanan penjara Pulau Pinang

Tambahnya, setakat ini, petugas dan banduan yang dikuarantin tidak menunjukkan gejala jangkitan.

"Ada juga banduan dan petugas yang tidak diasingkan berada dalam keadaan yang baik selain tidak menunjukkan sebarang gejala.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, hari ini ada lagi petugas dan banduan yang menjalani ujian saringan di dalam penjara. Pengarah Hospital Pulau Pinang juga hadir untuk membuat pemantauan di dalam penjara," katanya.

Mohamed Jusoh berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada KKM berhubung punca jangkitan virus pada banduan yang meninggal dunia itu.

Kakitangan KKM memasuki bangunan Penjara Reman Pulau Pinang.
Kakitangan KKM memasuki bangunan Penjara Reman Pulau Pinang.

"Setakat ini pihak KKM belum dapat maklumkan banduan yang meninggal dunia itu mendapat jangkitan Covid-19 daripada mana.

"Berdasarkan maklumat penjara, pergerakan terakhir si mati (keluar daripada penjara) ialah pada 9 September lalu dan tiada lagi pergerakan selepas itu" katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di pintu masuk Penjara Reman Pulau Pinang mendapati, kenderaan KKM dan kenderaan rasmi Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalid keluar masuk dipercayai bagi menjalankan proses ujian saringan.

Difahamkan petugas kesihatan mula masuk ke dalam bangunan penjara pada jam 9 pagi bagi membuat ujian saringan Covid-19 kepada petugas dan banduan di situ.

Ketika ini terdapat kira-kira 2,300 banduan dan 320 kakitangan di Penjara Reman Pulau Pinang.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, di sini.

Lelaki warga emas itu turut mempunyai penyakit darah tinggi dan kesihatan mental.