Covid-19: KSN jalani kuarantin

Mohd Zuki Ali memuat naik kenyataan berhubung perkara itu di Facebooknya hari ini.
Mohd Zuki Ali memuat naik kenyataan berhubung perkara itu di Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga 16 Oktober ini atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, ini kerana beliau telah menghadiri satu mesyuarat yang sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Oktober lalu yang disahkan positif koronavirus (Covid-19).

“Saya telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan alhamdulillah, keputusannya adalah negatif.

"Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sebagaimana yang disarankan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun katanya, situasi tersebut tidak mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana beliau tetap meneruskan tugasnya dari rumah dan akan memanfaatkan aplikasi digital serta teknologi bagi menyelesaikan urusan.

Dalam pada itu, Mohd Zuki turut mengingatkan ketua-ketua jabatan supaya memberikan pelepasan khas atau memberi kebenaran bekerja dari rumah kepada petugas-petugas yang disahkan mempunyai simptom Covid-19 atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah dijangkiti virus berkenaan.

Ini katanya, sejajar dengan Garis Panduan Pengendalian Isu-Isu Berhubung Covid-19 di Premis Kerajaan bertarikh 16 Mac 2020.

"Marilah kita semua terus berjuang melaksanakan tugas dengan penuh komited dan dedikasi demi negara yang kita cintai," katanya.

Artikel Berkaitan: